Kuala Lumpur City (KL City) FC terus mempamerkan aksi cemerlang apabila merakamkan kemenangan ketiga berturut-turut dengan membenam Penang City 4-2 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Walaupun pasukan pelawat terlebih dahulu mengeggarkan gawang lawan seawal minit ke-3 menerusi Adib Raop namun gol terbabit tidak membuatkan tuan rumah goyah.
Malah, skuad bimbingan Miroslav Kuljanac hanya memerlukan lima minit untuk menjaringkan gol penyamaan apabila kapten pasukan, Paulo Josue mudah menolak bola untuk kedudukan 1-1.Ternyata, gol terbabit meniup semangat KL City apabila kerap melakukan serangan berbahaya bagi mencari jaringan tambahan.
Pemain Import KL City Jovan Motika menghadirkan keceriaan buat penyokong dengan menyumbat gol kedua tuan rumah pada minit ke 22.
Memasuki babak kedua, tuan rumah melakukan tukaran dengan memasukkan tonggak bawah 23 tahun, Haqimi Azim Rosli bagi menyuntik lagi jentera serangan.
Ternyata percaturan terbabit membuahkan hasil apabila Haqimi meledakkan gol ketiga tuan rumah pada minit 54 untuk kedudukan 3-1.
Pertahanan skuad kendalian Akmal Rizal Rakhli ternyata goyah apabila mudah membenarkan Haqimi melakukan larian sebelum melepaskan rembatan untuk menumpaskan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman pada minit 74 sekali gus menjadikan kedudukan 4-1.
Penang FC cuba bangkit pada minit terakhir perlawanan menerusi tandukan Rodrigo Dias namun jaringan itu tidak banyak membantu pasukan pelawat untuk meraih sekurang-kurang satu mata.
sumber:- HM
Keputusan 4-2 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan KL City terus mengukuhkan kedudukan dalam saingan Liga Super.KL City kini menduduki tangga kelapan Liga Super manakala Penang FC pula ditempat ke-10 dengan masing-masing memungut 10 mata.