sukan

‘Lebih baik buat pasukan Kelantan baharu’

Tindakan Gerakan Selamatkan Kelantan (GSK) yang sedia membeli Kelantan FC dengan harga RM1 bersama tanggungan hutang kurang RM5 juta disifatkan sebagai satu langkah yang kurang bernas meskipun hasrat mereka untuk memulihkan semula pasukan yang sudah rosak itu.

Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menganggap langkah itu ‘seperti tiada beban batu digalas’ di mana mereka sepatutnya tidak perlu ‘memeningkan kepala’ untuk menanggung liabiliti yang ada pada pasukan ‘Jaguh Pantai Timur’ itu.

Justeru, Pekan melihat adalah lebih baik sekiranya GSK menubuhkan pasukan yang baharu dan lebih segar menggunakan modal yang ada memandangkan kedua-duanya tetap perlu mengharungi proses yang sama dengan bermula daripada bawah.

“Saya rasa tidak perlu, kenapa nak bebankan kepala untuk ambil pasukan yang kita tahu tidak akan beraksi di liga profesional. Kalau mereka berjaya ambil (Kelantan FC) pun, mereka tetap perlu bermula daripada bawah jadi adalah lebih baik buat satu lagi pasukan baharu.

“Pasukan baharu itu pun boleh dijenamakan semula dengan nama yang berunsurkan atau identiti Kelantan juga. Kenapa perlu tanggung hutang sedangkan mereka ada cara lebih baik dengan tubuhkan pasukan baharu, bermula dengan situasi yang lebih baik?

“Saya faham ada aspek nostalgia itu, kita pun tahu betapa berpengaruhnya jenama Kelantan FC ini dalam kalangan penyokong mereka tetapi kalau terlalu banyak syarat yang diletakkan, lebih baik buat pasukan baharu,” kata Pekan.

Terdahulu, Pengerusi GSK, Nik Hafiz Naim Nik Hassan menolak tawaran Presiden Kelantan FC, Norizam Tukiman apabila kekal dengan pendirian untuk mengambil alih pasukan itu dengan RM1 bersama tanggungan hutang kurang RM5 juta.

Dalam masa sama, Pekan juga melihat Norizam ataupun lebih dikenali sebagai Zamsaham masih memiliki rasa sayang terhadap Kelantan FC dan disebakan itulah, dia tampak masih keberatan untuk melepaskan pasukan itu kepada mana-mana pihak.

“Saya rasa Norizam bukan betul-betul mahu lepaskan Kelantan FC kerana kita pun tahu dia sudah banyak melabur untuk pasukan itu. Dengan syarat yang diletakkan itu, mungkin dia rasa ralat nak jual.

sumber:- BH

“Mungkin juga dia ada perancangan tersendiri untuk menyusun semula Kelantan FC kerana selepas melabur banyak, tidak mungkin dia akan membiarkan sahaja pasukan seperti itu,” katanya.