sukan

Khabib sedia tunaikan hasrat Jojo

Legenda Ultimate Fighting Championship (UFC) dunia, Khabib Nurmagomedov sentiasa mengalu-alukan kehadiran Johan Ghazali Zulfikar sekiranya sensasi Muay Thai negara itu mahu ‘beralih angin’ berlatih di gimnasiumnya di Dagestan, Russia.

Khabib yang ditemui selepas acara ‘Khabib Nurmagomedov LIVE in Malaysia 2024’ di ibu kota, hari ini berkata, hasrat Johan untuk menjalani latihan di negeri yang dianggap ‘pusat’ kepada sukan seni bela diri Russia itu disuarakan sendiri oleh peninju yang dikenali sebagai Jojo itu.

“Saya mengenalinya menerusi acara ini dan tahu dia masih muda. Saya juga tahu dia adalah petarung yang baik dan saya mengucapkan yang terbaik untuknya di masa depan, Insya-Allah,” kata Khabib.

“Dia memberitahu saya yang dia mahu ke MMA (seni bela diri campuran). Apabila dia sudah selesai dan mahu ke MMA, dia sentiasa dialu-alukan di Dagestan di gimnasium saya, berlatih bersama kami, untuk meningkatkan tahap gustinya dia sentiasa dialu-alukan,” katanya.

Khabib yang datang ke Malaysia buat kali pertama berkata, dia turut terbuka dengan cadangan untuk membuka gimnasium latihan rasminya di negara ini.

“Ini satu idea yang bagus, kami ada berbincang mengenainya di Jakarta sebelum ini dan kemudian di Malaysia,” katanya.

“Kami akan berfikir mengenainya dan mengapa tidak. Jika kami buka gimnasium Khabib di sini dan bawa jurulatih yang bagus, saya fikir ia satu idea yang bagus untuk rakyat Malaysia yang meminati MMA,” katanya.

Mengulas lanjut, bintang MMA berusia 36 tahun itu mengakui teruja dapat datang ke Malaysia.

“Saya sudah lama nak datang ke sini (Malaysia) dan akhirnya ia tercapai,” katanya.

sumber:- BH

“Setakat ini, semuanya menakjubkan dan terima kasih kerana mengalu-alukan saya di sini dan menerima saya sebagai saudara.”Sebagai info, Khabib memegang rekod sebagai juara kelas lightweight UFC yang tidak pernah kalah dengan rekod 29-0.