sukan

Pemain JDT buat Bidoglio geram

Walaupun Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan tetapi pengendalinya, Hector Bidoglio tidak berpuas hati dengan persembahan barisan pemainnya ketika menewaskan Kuching City FC (KCFC) 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.

Bidoglio berkata dari awal sebelum perlawanan sudah menjangkakan JDT akan berdepan kesukaran tatkala menentang skuad kendalian Aidil Sharin Sahak namun apa yang dipersembahkan barisan pemainnya bukan corak permainan terbaik.

“Saya sudah memberitahu pemain setiap perlawanan perlu dipertingkatkan dan kualiti permainan harus berada di tahap terbaik namun inilah bola sepak ada ketika bermain dengan baik dan ada ketika prestasi kurang baik.

“Pemain JDT cuba beri persembahan 100 peratus tapi pada malam ini (malam tadi) tampak kurang efektif dan tidak semua akan selalu sempurna dan kita kena terima hakikat apa yang dipamerkan bukanlah kualiti permainan JDT sebenarnya.

“Pada pengamatan saya, kami cuba menggerakkan bola daripada sebelah ke sebelah tapi belum dapat menembusi kawalan pemain lawan yang jelas begitu berdisiplin,” katanya.

Pengendali kelahiran Argentina itu juga tidak menafikan mental pemain lebih tertumpu bagi persiapan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Shanghai Shenhua pada Selasa ini dan situasi itu menyebabkan barisan pemain beraksi menentang skuad The Cats dengan berhati-hati bagi mengelak sebarang kecederaan.

Pada perlawanan berkenaan, skuad Harimau Selatan terlebih dahulu mendahului menerusi Bergson da Silva selepas tiga minit babak kedua bersambung.

sumber:- BH

Juan Muniz kemudian menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-82 sebelum Fernando Welter merapatkan jurang seminit kemudian.