sukan

Kuching City FC buat JDT ‘goyang’

Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuh cengkaman selaku pendahulu liga namun bergelut untuk menewaskan Kuching City FC (KCFC) 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Selepas mengharungi 11 perlawanan, skuad kendalian Hector Bidoglio kini melakar 10 kemenangan dan mengumpul 31 mata bagi menjarakkan kedudukan mata dengan pencabar terdekat, Selangor FC yang mengumpul 22 mata.

Kemenangan itu juga meningkatkan lagi motivasi pemain skuad Harimau Selatan apabila akan berdepan kelab dari China, Shanghai Shenhua pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACL) di stadium yang sama, Selasa ini.

JDT yang menguasai perlawanan terlepas peluang membuka tirai jaringan pada minit ke-10 selepas bola lorongan Juan Muniz menyaksikan Nazmi Faiz Mansor bertindak pantas merembat bola dari luar kotak penalt tetapi hanya sipi gawang gol.

Tuan rumah masih kempunan untuk merungkai jaringan walaupun pada minit ke-36 hasil sepakan sudut Muniz membuka ruang buat Arif Aiman Hanapi yang berada di luar kotak penalti menyambung hantaran bola itu tapi sekadar melepasi palang gol.

Nasib tidak menyebelahi JDT apabila gol yang dijaringkan Jorge Obregon pada minit ke-40 dibatalkan selepas pemain itu berada di posisi ofsaid berpunca daripada susulan bola rembatan Arif Aiman di luar kotak penalti gagal ditangkap kemas penjaga gol, Shahril Sa’ari

Bersambung babak kedua tatkala kedua-dua pasukan buntu mencipta gol pada babak pertama, JDT hanya memerlukan tiga minit permainan untuk meleraikan jaringan selepas pemain gantian, Bergson da Silva menanduk bola sepakan lintang Arif Aiman untuk meletak tuan rumah mendahului 1-0.

Obregon terus malang selepas gol kedua yang dijaringkan sekali lagi dibatalkan pada minit ke-52 selepas berada dikedudukan ofsaid tatkala menyudahkan bola hantaran Bergson.

Skuad The Cats enggan menyerah kalah sebaliknya mengundang cemas ke gawang JDT selepas bola percubaan Nur Shamie Izuan Amin pada minit ke-69 memaksa penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed menepis bola bagi mengelak gawang dibolosi.

Bagaimanapun, perjuangan skuad The Cats tersentap selepas skuad Harimau Selatan menambah jaringan pada minit ke-82 apabila bola lorongan Bergson menyaksikan Muniz yang tidak di kawal mudah melencongkan bola tepat ke penjuru kanan gawang menewaskan Shahril.

sumber:- BH

Ketika aksi berbaki tujuh untuk ditamatkan pemain gantian, Fernando Welter merapatkan jurang gol selepas berjaya menewaskan Ahmad Syihan Hazmi namun gol itu belum cukup buat KCFC sekurang-kurang melakar keputusan seri sebaliknya JDT tampak lega dengan kemenangan tipis 2-1.