sukan

Zamsaham sedia lepaskan saham TRW dengan RM1 tapi bersyarat

Presiden TRW Kelantan FC, Norizam Tukiman menjawab dakwaan daripada kumpulan Gerakan Selamatkan Kelantan FC (GSK) yang mendakwa mereka terdiri daripada beberapa pelabur pasukan itu.

Berdasarkan e-mel yang diterima BH Sukan, GSK ditubuhkan dengan harapan untuk membina semula pasukan TRW Kelantan FC dan kumpulan terbabit mendesak Norizam melepaskan kelab itu.

Namun, GSK mendakwa bahawa mereka terkejut apabila Norizam meletakkan tanda harga RM3 juta untuk kelab TRW yang dianggap tidak mempunyai apa-apa nilai sekarang ini.

Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham berkata, beliau memberi GSK dua pilihan sama ada mahu membeli TRW dengan nilai RM3 juta atau RM1.

“Saya sayangkan TRW, tetapi bila dipaksa, saya berikan mereka pilihan nak beli RM3 juta atau RM1. Kalau mahu RM1, kenalah tampilkan aksi terbaik dahulu baru rasa berbaloi jual pada harga RM1.

“Saya beli pun masa (tahun) 2020 RM6.8 juta, langsung tiada apa-apa aset dan keadaannya lagi teruk,” katanya kepada BH Sukan.Berdasarkan surat yang turut diterima BH Sukan menerusi e-mel, Zamsaham didakwa akan melepaskan semua sahamnya pada harga RM1 dengan syarat sekiranya TRW mencapai prestasi terbaik dalam masa lima tahun.

Namun, jika tidak mencapai KPI, maka TRW akan diambil alih semula oleh Zamsaham dan perkara itu perlu ‘sign personal guarantee’ hutang dan tanggungan selepas lima tahun adalah kurang atau tidak lebih dari jumlah sekarang.

Mengenai desakan supaya melepaskan kelab itu, Norizam menjelaskan bahawa beliau juga sama dengan pelabur lain yang menyahut sistem penswastaan dengan menubuhkan syarikat berhad.

“Keputusan pelaburan risiko tentang industri bola dan potensi dinilai sebelum melabur. Mereka yang bising ini semua ada buat permohonan rasmi untuk jadi pemegang saham sebelum diluluskan.

“Sebelum ini mereka minta buat AGM dan AGM sudah selesai. Akaun penyata juga sudah dibentangkan, kenapa kini mereka paksa saya jual saham saya pula sedangkan ‘its willing buyer, willing seller’,” katanya.

Zamsaham menjelaskan isu tiada duit bukan sahaja dihadapi Kelantan FC dan masalah sama turut dihadapi pasukan lain.

Beliau berkata, langkah mengundur diri musim 2024 diambil kira supaya masalah kewangan tidak semakin teruk sebagaimana pasukan lain yang mempunyai masalah sama.

“Saya ambil alih tahun 2020, kami hanya ada masalah kewangan selepas masuk Liga Super 2023,” katanya.

Menjawab tuduhan bahawa beliau tidak boleh dipercayai dan membawa kehancuran kepada TRW, Zamsaham menegaskan mengapa perkara itu tidak diperkatakan ketika pasukan hampir juara Liga Perdana pada 2022.

sumber:- BH

“Kenapa setelah gagal, semua salah saya. Ia sebenarnya patut sudah berkubur pada 2020 lagi. Masa itu tanyalah KAFA (Persatuan Bolasepak Kelantan), tiada orang pun berani beli TRW,” katanya.