sukan

Izzuddin terima satu lagi berita gembira selepas ‘smash’ RM1 juta

Selepas mengungguli Terbuka China, pemain beregu profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani menerima satu lagi berita gembira apabila dianugerahkan cahaya mata sulung.

Berita gembira itu dikongsikan oleh isterinya, Mawar Mutiara yang memuat naik gambar dirinya bersama Izzuddin serta cahaya mata sulung mereka itu di Instagram.

Lebih menarik, pasangan itu menimang cahaya mata pertama mereka pada ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama iaitu 23 September.

“Setahun sudah kita dalam dakapan cinta, kini diberkati dengan anugerah kehidupan baru. Selamat ulang tahun pertama, sayangku,” tulis Mawar menerusi hantaran berkenaan.

Sehingga kini, hantaran itu mendapat perhatian peminat pasangan itu yang rata-ratanya menitipkan doa serta mengucapkan tahniah atas kelahiran ‘orang baharu’ dalam keluarga mereka itu.

“Gelaran Super 1000 (Terbuka China) rezeki anak rupanya. Tahniah kedua-dua anda,” tulis wiena_153.

Manakala nur_pyja pula menulis: “Betullah orang cakap, rezeki anak itu luas. Tahniah”

Untuk rekod, Izzudin yang berpasangan dengan Goh Sze Fei meraih ganjaran RM892,000 dalam tempoh kurang sebulan menerusi empat kejohanan disertai gandingan itu setakat ini.

Paling banyak pastinya kemenangan di Terbuka China yang berstatus Jelajah Dunia BWF Super 1000 yang menyaksikan pasangan ranking ke-12 dunia itu meraih AS$148,000 (RM622,000).

Ia diikuti AS$62,900 (RM264,000) selepas menjuarai Terbuka Jepun yang bertaraf Super 750.

sumber:- HM

Menamatkan kempen Terbuka Korea Selatan yang berstatus Super 500 dengan nota kecewa selepas tersingkir seawal pusingan pertama pada awal bulan ini, aksi berikutnya di Terbuka Hong Kong (Super 500) memberikan gandingan itu AS$1,575 (RM6,622) selepas hanya mara ke peringkat 16 terbaik.