sukan

Safawi mahu lepas kekecewaan berdepan Kelab Vietnam

Kapten Terengganu FC (TFC), Safawi Rasid tekad untuk menebus kehampaan apabila berdepan kelab Vietnam, Dong A Thanh Hoa FC dalam aksi kedua saingan Kejuaraan Kelab Asia Tenggara atau Piala Shopee, malam esok.

Jelas pemain kelahiran Dungun itu, dia tidak rela lagi ‘berputih mata’ buat kali kedua berturut-turut lebih-lebih lagi beraksi di depan ribuan peminat setia pasukannya.

Bagaimanapun, pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sedar bukan tugas mudah buat pasukannya untuk melakar kemenangan terutama lawan hadir dengan reputasi sebagai pasukan yang kuat.

“Sudah tentu kami kecewa gagal mengutip tiga mata pada aksi pertama apabila tewas 2-3 kepada kelab Kemboja, PKR Svay Rieng FC pada aksi pertama di tempat sendiri, bulan lalu.

“Namun inilah bola sepak, kami akan cuba yang terbaik untuk menebus kekalahan lalu dengan mencipta kemenangan bagi mengutip tiga mata pertama dalam Kumpulan A.

“Kemenangan ini bakal meningkatkan lagi motivasi kami sebelum berdepan Selangor FC dalam saingan Liga Super pada hujung bulan ini,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, hari ini.

Ketika ditanya harapannya kepada peminat setia TFC, pemain kebangsaan itu mengajak semua peminat bukan sahaja dari Terengganu, malah luar negeri dapat hadir memberikan sokongan kerana TFC mewakili Malaysia.

“Kami mengharapkan peminat setia terus membanjiri stadium dengan memberikan sokongan padu kepada kami, sekali gus bakal meningkatkan lagi motivasi kami,” ujarnya.

sumber:- HM

Pada aksi pertama berdepan kelab Kemboja itu, Safawi menjaringkan satu gol manakala satu lagi dijaringkan pemain tengah, Manuel Ott.