sukan

Popov akui tempang berdepan TFC

Pengendali kelab Dong A Thanh Hoa FC dari Vietnam, Velizar Popov menuntut anak buahnya mencipta lebih banyak gerakan berdepan Terengganu FC (TFC) pada aksi kedua Kejuaraan Kelab Asia Tenggara atau Piala Shopee, malam esok.

Jelas jurulatih kelahiran Bulgaria itu, beliau juga mahukan anak buahnya lebih fokus selain tidak melakukan kesilapan yang mungkin boleh mengundang padah buat pasukannya.

Pada masa sama beliau turut mengharapkan anak buahnya berwaspada dengan kebangkitan TFC yang pastinya mahukan kemenangan pada aksi kedua selepas tumpas pada aksi pertama.

“Saya tegaskan kepada pemain agar lebih fokus dalam setiap saat bagi mengelak dihukum pasukan lawan yang pasti ada kelebihan beraksi di tempat sendiri.

“Selain itu saya juga tegaskan kepada pemain agar perlu lebih banyak mencipta gerakan untuk memburu jaringan.

“Tapi pemain perlu berhati-hati kerana lawan yang kini menghuni di tangga ketiga saingan Liga Super Malaysia dilihat begitu berbahaya dalam kawasan penalti,” ujarnya ketika sidang media menjelang pertemuan dengan TFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, hari ini.

Mengulas lanjut, jurulatih berusia 48 tahun yang mula membimbing kelab itu sejak 2022 akui skuadnya ‘kehilangan’ empat pemain utama akibat mengalami kecederaan.

“Empat pemain utama kami cedera, kami juga menempuhi perjalanan yang jauh untuk sampai ke Terengganu, jadi sudah tentu tenaga pasukan kami tidak begitu cukup.

sumber:- HM

“Tapi pemain kami berazam untuk memperagakan aksi terbaik bagi meneruskan rentak kemenangan kedua berturut-turut selepas menang 3-1 ke atas kelab Myanmar, Shan United pada bulan lalu,” ujarnya.