sukan

Malaysia boleh dianggap rugi seri dengan Korea Utara

Skuad bawah 19 (B-19) tahun negara dianggap rugi apabila tidak berjaya meraih kemenangan ke atas Korea Utara dalam aksi kedua Kumpulan E kempen kelayakan Piala Asia B-20 2025, semalam.

Ia kerana Korea Utara terpaksa bermain dengan 10 pemain kira-kira 30 minit terakhir selepas tonggak pertahanan, Jong Un Hyok dilayangkan kad merah pada minit ke-65.

Harimau Malaya B-19 bagaimanapun terpaksa berpuas hati dengan satu mata apabila gagal mencipta jaringan dengan aksi di Stadium Republican Central, Dushanbe, Tajikistan itu berkesudahan 0-0.

Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin menyifatkan skuad kendalian Juan Torres Garrido tidak mengambil kesempatan terhadap kekurangan Korea Utara untuk meraih kemenangan.

Beliau bagaimanapun menganggap, ada kemungkinan sikap berhati-hati dan kepenatan menjadi faktor Harimau Malaya B-19 tidak melakukan tekanan lebih hebat selepas Korea Utara bermain dengan 10 pemain.

“Jika kita tengok daripada perlawanan itu, Korea Utara satu pasukan yang baik. Mereka bermain dengan agresif, namun pasukan negara juga cuba memberi tentangan dan itu satu perkara yang positif.

“Namun kita rugi sebab tak ambil kesempatan apabila Korea Utara bermain dengan 10 pemain. Mungkin jurulatih sedar kemampuan pemain negara dan pada ketika itu pemain juga keletihan kerana tekanan awal yang diberikan.

“Malah, walaupun bermain 10 orang, permainan Korea Utara masih sama. Jadi mungkin jika Malaysia lebih menekan di bahagian serangan, takut terdedah di bahagian belakang.

“Bayangkan kalau kita main secara terbuka dan kita kena (kalah), mungkin kritikan lebih hebat. Namun, sepatutnya kita perlu gunakan peluang ketika Korea Utara bermain 10 orang.

“Mungkin untuk perlawanan akan datang, jika berlaku situasi begini, kita kena cuba untuk lebih berani menekan pasukan yang bermain 10 pemain,” katanya kepada BH Sukan.

Harimau Malaya B-19 kekal di kedudukan kedua kumpulan dan berkongsi empat mata bersama Korea Utara yang berada di tangga teratas.

sumber:- BH

Skuad negara seterusnya akan berdepan satu lagi tugas sukar apabila menentang tuan rumah, Tajikistan di gelanggang sama, Jumaat ini sebelum aksi terakhir melawan Sri Lanka, dua hari kemudian.