sukan

Tiada dalam kamus pemain JDT

Faktor kepenatan yang melanda Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak menjejaskan rentak permainan pasukan itu untuk mempamer aksi bertenaga selepas membelasah Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 6-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio menegaskan penerbangan selama lima jam dari Shanghai ke Johor Bahru selepas mengharungi kempen Liga Juara-Juara Asia Elit di China, Rabu lalu langsung tidak menganggu konsentrasi barisan pemain yang mudah `meratah’ skuad kendalian Park Jae-hong.

“Perjalanan jauh selama lima jam sememangnya memenatkan tapi saya tidak nampak pemain kepenatan dalam perlawanan itu walaupun kami perlu tunggu sehingga minit ke-42 untuk menjaringkan gol, sebaliknya mereka begitu komited dalam perlawanan itu dan berada dalam keadaan yang baik sepanjang 90 minit permainan.

“Apa yang lihat agak sukar untuk merungkai jaringan apabila pasukan lawan bermain secara kompak di benteng pertahanan dan pemain saya perlu mengubah umpanan bola bagi mencari ruang untuk melakukan serangan ke kawasan lawan.

“Masalah yang dihadapi adalah umpanan terakhir kerap tersekat dan ada juga gerakan yang kami lakukan sukar untuk menembusi benteng lawan yang tampak berdisiplin malah gaya mereka beraksi dengan kawalan pemain JDT juga begitu berkesan dan pemain kita sukar mencari ruang,” katanya.

Bidoglio menambah aksi babak kedua lebih tersusun dengan kawalan bola yang berkesan malah pemain juga kerap menggerakkan bola di posisi sayap kiri dan kanan yang jelas memberi tekanan terhadap benteng lawan sehingga mereka mudah dibolosi dengan empat gol.

Mengenai prestasi Arif Aiman Hanapi yang kembali menemui sentuhan penyudah, pengendali kelahiran Argentina menyifatkan kelibat Pemain Paling Bernilai (MVP) itu kerap memainkan peranan dalam kesebelasan utama JDT.

“Arif Aiman bukan pemain invidualistik, dia tahu peranannya selaku pemain sayap kanan dan sentiasa bermain secara berpasukan malah bukan sahaja membantu ketika menyerang sebaliknya akan turun bantu barisan pertahanan,” tambahnya.

Ditanya mengenai status kecederaan yang dialami Syahmi Safari, Bidoglio mengesahkan pemain itu perlu menjalani rawatan lebih lanjut di Sepanyol selepas mengalami kecederaan ketika aksi menentang Penang FC, 12 September lalu.

sumber:- HM

“Saya harap Syahmi pulih dan kembali menjalani latihan tapi ia mungkin memakan masa dan saya tidak tahu bila dia akan pulih. Dia pemain muda dan perlu bersabar kerana kecederaan di bahagian ligamen,” kata Bidoglio.