RM892,000. Itu jumlah lumayan yang dibawa pulang pasangan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dalam tempoh kurang sebulan dalam empat kejohanan disertai gandingan itu setakat ini.
Paling banyak pastinya kemenangan di Terbuka China yang berstatus Jelajah Dunia BWF Super 1000 yang menyaksikan pasangan ranking ke-12 dunia itu meraih AS$148,000 (RM622,361).
Ia diikuti AS$62,900 (RM264,456) selepas menjuarai Terbuka Jepun yang bertaraf Super 750.Menamatkan kempen Terbuka Korea Selatan yang berstatus Super 500 dengan nota kecewa selepas tersingkir seawal pusingan pertama pada awal bulan ini, aksi berikutnya di Terbuka Hong Kong (Super 500) memberikan gandingan itu AS$1,575 (RM 6,622) selepas hanya mara ke peringkat 16 terbaik.
Dan berdasarkan angka, apa yang diperoleh mereka bukan saja lumayan, tetapi turut menarik iaitu kurang sebulan selepas memutuskan untuk meninggalkan badan induk Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Sebagai rekod, selepas mengambil keputusan berpisah pada tahun lalu, Sze Fei-Izzuddin kembali bergandingan pada awal tahun ini dalam usaha untuk layak ke pentas Olimpik 2024.
Tetapi selepas tidak tersenarai untuk beraksi di Paris, mereka membuat kejutan untuk meninggalkan BAM pada awal bulan lalu dan rasmi bergerak secara profesional pada 1 September.
Menariknya, penampilan mereka di kejohanan pertama selepas keputusan itu dibuat di Terbuka Jepun jelas membuahkan hasil dan sekalipun dua kali ‘tersekat’ di Korea Selatan dan Hong Kong, kejayaan lebih gemilang dicapai di China.
Apa yang pasti, selepas sering dilihat sebagai petanda pemain sedang mengharungi penghujung karier, prestasi ditampilkan Sze Fei-Izzuddin menunjukkan bergerak secara profesional juga mampu memberikan keputusan cemerlang.
Dan tindakan itu – sekalipun diakui ramai cukup sukar – membuktikan kejayaan masih mampu dicipta – jika ia dilakukan secara teliti dan paling penting, tetap membanggakan Malaysia.
Selain Sze Fei-Izzuddin, beberapa pemain profesional negara turut menampilkan aksi mantap di China termasuklah pasangan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang mara ke final dan gandingan beregu lelaki Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang melangkah ke separuh akhir.
Justeru, kejayaan diraih itu bukan saja akan meningkatkan kedudukan ranking mereka, tetapi dalam masa sama memberi cabaran kepada pemain yang masih bernaung di bawah BAM untuk menampilkan aksi lebih baik.
Berdasarkan jadual Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Terbuka China adalah kejohanan terakhir berstatus Super 1000 pada tahun ini selain Terbuka Malaysia, All England dan Terbuka Indonesia.
Begitupun, masih ada dua baki kejohanan berstatus Super 750 iaitu Terbuka Denmark yang dijadual pada bulan depan dan China Masters pada November selain dua kejohanan berstatus Super 500 iaitu Japan Masters dan Terbuka Artic.
sumber:- BH
Kepada pemain yang masih memburu tempat beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF yang dijadual pada Disember depan di China, kesemua kejohanan itu pastinya penting selain ia turut menawarkan hadiah keseluruhan lebih lumayan, AS$2 juta (RM 8.41 juta).