Meskipun tewas 1-6 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), penolong ketua jurulatih Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Rezal Zambery Yahya menegaskan ada perkara positif yang boleh dipelajari bagi meneruskan perjuangan dalam liga.
Rezal Zambery berkata, pemain yang diturunkan termasuk beberapa muka baharu sudah menjalankan tugas dengan baik pada babak pertama dengan merantai pergerakan barisan serangan Harimau Selatan sehinggalah tempoh lima minit terakhir apabila gawang Kijang Emas dibolosi dua gol.
Katanya, perancangan yang disusun itu terkandas apabila pemain tampak keletihan dan mula hilang fokus selepas diasak dan diserang bertubi-tubi hingga membuka ruang buat lawan mencipta jaringan.
“Walaupun kalah 6-1, ada perkara positif yang boleh diambil di mana kita boleh mencipta jaringan dan berjaya membuat gerakan berbahaya ke kubu lawan. Pemain import baharu, Washinton (Brandao) juga tampak meyakinkan dan lebih baik daripada pemain import yang lepas.
“Jadi, sudah tentu yang negatif kita akan perbaiki lagi tapi aspek positif ini kita kena ambil kira juga. Ada yang positif ditunjukkan pemain pada malam ini (malam tadi) dan semuanya akan kita tingkatkan lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Rizal Zambery berkata, pasukan membuat keputusan untuk ‘menyimpan’ dua pemain import iaitu Oday Kharoub dan Michal Jerabek untuk diturunkan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Jumaat ini.
“Dua pemain import ini masing-masing sudah mengutip dua kad kuning setakat ini dan kita tidak mahu ambil risiko kerana khuatir mereka akan dilayangkan satu lagi kad kuning ketika perlawanan menentang JDT yang menyebabkan mereka terlepas aksi di Paroi,” jelasnya
Biarpun merekodkan enam kekalahan berturut-turut dan hanya mencatatkan satu kemenangan sahaja, penolong ketua jurulatih berusia 45 tahun itu optimis KDN FC mampu keluar daripada kedudukan tercorot.
sumber:- HM
“Kita masih yakin dapat memanjat carta liga selangkah demi selangkah. Masih ada banyak perlawanan lagi, 14 perlawanan secara keseluruhan dan kita harap dapat bangkit ketika menentang NSFC nanti,” katanya.