sukan

Harimau Muda B-19 dapat suntikan semangat

KEJAYAAN skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara membuka kempen Kelayakan Piala Asia B-20 2025 dengan mengalahkan Oman disifatkan sebagai petanda positif.

Malah menurut jurulatih berpengalaman negara, Wan Jamak Wan Hassan peluang untuk skuad Harimau Muda B-19 mara ke pusingan seterusnya menyala selepas berjaya mengatasi pasukan pilihan.

“Sebaiknya kita membuka kempen kelayakan peringkat kumpulan dengan kemenangan ke atas Oman, itu sebenarnya satu kemenangan moral besar kepada pemain-pemain negara.

“Jadi selepas ini skuad muda negara perlu memanfaatkan sebaik mungkin perlawanan berdepan Korea Utara, Tajikistan dan Sri Lanka,” katanya pada Ahad.

Skuad B-19 negara kendalian Juan Torres Garrido membuka kempen Kumpulan E Kelayakan Piala Asia B-20 langkah kanan apabila menumbangkan Oman 2-1 di Stadium Republican Central, Dushanbe, Tajikistan.

Malaysia membuka jaringan minit ke-30 menerusi Moses Raj sebelum Mohamad Haykal Danish Mohd Haizon menyempurnakan sepakan penalti (m-63) manakala gol saguhati Oman dihasilkan juga menerusi sepakan penalti Majid Al-Farsi (m-87).

Sementara itu, Korea Utara membuka kempen kumpulan dengan laungan awal apabila membelasah Sri Lanka, 4-0.

Pada masa sama Wan Jamak menitipkan pesanan kepada pemain-pemain Harimau Muda negara supaya tidak terlalu cepat berpuas hati dengan pencapaian masing-masing.

Sebaliknya, Wan Jamak mahu pemain lebih bersedia berdepan dua lagi pasukan yang lebih kuat iaitu Korea Utara dan tuan rumah, Tajikistan.

“Sebaik-baik kemenangan ke atas Oman itu sudah berlalu kerana selepas ini kita tidak akan membicarakan kisah itu lagi sebaliknya tumpuan kepada usaha untuk layak ke pusingan seterusnya.

“Jadi untuk layak, pemain-pemain perlu fokus selain kekalkan tahap disiplin tinggi dalam usaha meraih keputusan positif ke atas Korea Utara dan Tajikistan juga tidak terkecuali Sri Lanka,” katanya.

Anak buah Garrido dijadualkan bertemu Korea Utara pada aksi kedua di venue sama pada Isnin.

Sebagai rekod, 10 juara kumpulan bersama lima pasukan tempat kedua terbaik kumpulan akan layak ke pusingan akhir bersama tuan rumah, China untuk Piala Asia B-20 2025 yang akan berlangsung pada 6 hingga 23 Februari tahun depan.

sumber:- SH

Kelayakan Piala Asia B-20 2025

KUMPULAN E

Oman 1-2 Malaysia

ISNIN

Korea Utara lwn Malaysia

JUMAAT

Tajikistan lwn Malaysia

AHAD

Sri Lanka lwn Malaysia