sukan

Terbuka China : Yew Sin-Ee Yi tak kesal

Beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tetap berpuas hati dengan pencapaian mereka meskipun gagal mara ke final Terbuka China, semalam.

Langkah pasangan ranking ke-23 dunia itu terhenti di separuh akhir selepas tunduk kepada gandingan tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu 18-21, 11-21 pada aksi di Pusat Sukan Olimpik Changzhou, Jiangsu.

Ee Yi berkata pencapaian menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik pada kejohanan bertaraf Super 1000 itu tetap suatu yang positif.

Katanya, ia hanyalah kejohanan ketiga mereka sejak kembali ke gelanggang selepas berehat panjang susulan kecederaan yang dialaminya sebelum ini.

“Kami tidak menyesal, banyak yang kami belajar dalam perlawanan hari ini (semalam). Kami akan jadikannya sebagai iktibar untuk menghadapi kejohanan seterusnya.

“Kami bermain dengan baik dalam kejohanan kali ini. Sebelum ini kami berehat selama empat hingga lima bulan dan baru sahaja kembali menyertai kejohanan.

“Berjaya mara ke separuh akhir tetap suatu yang positif buat kami,” kata Ee Yi kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pencapaian mara ke separuh akhir Terbuka China dianggap satu peningkatan buat Ee Yi-Yew Sin sejak mereka kembali ke gelanggang, bulan lalu.

Pasangan itu sebelum ini tersingkir pada pusingan kedua Terbuka Jepun, bulan lalu dan pusingan pertama Terbuka Hong Kong, minggu lalu.

sumber:- BH

Kejayaan mara ke separuh akhir Terbuka China menyaksikan gandingan itu membawa pulang hadiah AS$28,000 (kira-kira RM117,000). Kejohanan itu menawarkan hadiah keseluruhan AS$2 juta (RM8.41 juta).