sukan

Bonilla sah terpaksa jadi penonton

Penyerang import baharu Terengganu FC (TFC), Nelson Bonilla terpaksa menjadi penonton apabila pasukannya bakal berdepan dengan kelab Vietnam, Dong A Thanh Hoa FC.

Kedua-dua pasukan itu masing-masing bakal membuat penampilan kedua dalam saingan Kejuaraan Kelab Asia Tenggara atau Piala Shopee di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Rabu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, kelewatan pendaftaran pemain import itu menyebabkan skuad Penyu terpaksa ‘berputih mata’ untuk menggunakan khidmat penyerang antarabangsa El Salvador itu.

Bagaimanapun jelasnya, beliau mengharapkan kebijaksanaan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner untuk menyusun strategi yang lebih ampuh berdepan kelab Vietnam itu.

Bonilla ‘direkrut’ TFC pada jendela kedua perpindahan pemain Liga Malaysia (Liga M) yang bermula 26 Ogos hingga 22 September 2024.

“Mengikut perancangan, kami berhasrat untuk menggunakan khidmat kapten skuad kebangsaan El Salvador itu dalam perlawanan kedua saingan Kejuaraan Kelab Asia Tenggara pada Rabu ini.

“Bagaimanapun kami terpaksa menerima kenyataan tidak dapat menurunkan penyerang itu (Bonilla) dalam saingan peringkat Asean ini kerana kelewatan pendaftaran sebagaimana yang ditetapkan pihak penganjur piala itu.

“Walaupun pihak kami sudah membuat rayuan, namun ia gagal mengubah keputusan sekali gus Bonilla terpaksa diketepikan dalam saingan piala itu.

“Kami harapkan pemain import sedia ada mampu memberikan impak yang positif buat pasukan dalam misi untuk melakar kemenangan selepas tumpas pada aksi pertama kepada kelab Kemboja,” ujar Mohd Sabri ketika dihubungi.

sumber:- HM

Aksi pertama Kumpulan A pada 21 Ogos lalu, naib juara Piala Malaysia musim lalu itu tewas 2-3 kepada kelab Kemboja, PKR Svay Rieng FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.