sukan

Sherman ranap impian Kedah

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terus kempunan untuk bangkit daripada kekecewaan apabila terikat 2-2 dengan Sri Pahang FC (SPFC) dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Dalam perlawanan itu, pemain Sri Pahang terlebih dahulu mengasak kubu Kedah dan memperoleh peluang menerusi Kpah Sherman namun dapat dipatahkan pertahanan tuan rumah.

Kedah kemudiannya cuba bangkit dengan melancarkan serangan namun kombinasi Sukhrob Nurullaev, Sony Norde dan Milos Gordic gagal memecah kebuntuan gol sekali gus kedudukan terikat tanpa jaringan pada babak pertama.

Bermula babak kedua, Sri Pahang meningkatkan asakan dan berjaya di depan hasil percubaan Sergio Aguero yang menolak bola masuk ke gawang Kedah pada minit ke-51 hasil hantaran Sherman.

Selang enam minit kemudian Stadium Darul Aman gamat dengan sorakan apabila Kedah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-57 apabila Halim Saari meledak rembatan rendah selepas mendapat hantaran daripada Sony Norde.

Usaha gigih berterusan Kedah membuahkan hasil apabila pemain sayap Sukhrob Nurullaev menambah gol kedua pada minit ke-63 menerusi larian solo dan disudahkan dengan rembatan kaki kirinya yang menerjah gawang SPFC.

Namun impian tuan rumah untuk mendapat tiga mata tidak kesampaian apabila pelawat menyamakan kedudukan selepas Sherman menghampakan mereka pada minit ke-78 dan kedudukan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

sumber:- HM

Keputusan seri itu meletakkan Kedah yang di bawah bimbingan Nafuzi Zain pada tangga ke-10 dengan mengumpul sembilan mata daripada 10 perlawanan.