Beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei melalui detik menakjubkan dalam kerjaya mereka untuk tempoh sebulan ini.
Pasangan ranking ke-12 dunia itu menampilkan persembahan berkelas ‘lima bintang’ apabila dua kali berjaya mara ke pentas final sepanjang tempoh itu.
Selepas menjuarai Terbuka Jepun pada 25 Ogos lalu, pasangan ranking ke-12 dunia itu sekali lagi cemerlang apabila melangkah ke final Terbuka China, hari ini.
Izzuddin-Sze Fei menyingkirkan gandingan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin 21-14, 24-22 pada aksi separuh akhir di Pusat Sukan Olimpik Changzhou.
Kemenangan itu turut menyaksikan mereka berjaya melunaskan dendam ke atas lawan berkenaan selepas tewas di pusingan kedua Terbuka Hong Kong, minggu lalu.
“Dari segi persiapan, secara mentalnya kami bawa pemikiran ‘nothing to lose’. Mereka menang ke atas kami dalam pertemuan sebelum ini dan itu mungkin membuatkan mereka tertekan,” kata Sze Fei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Bagaimanapun, Sze Fei menegaskan komunikasi antara mereka menjadi kunci terhadap pencapaian menakjubkan dilakar mereka setakat ini termasuklah kali pertama berjaya mara ke final kejohanan Super 1000 di Terbuka China kali ini.
“Saya fikir kunci kejayaan ini adalah komunikasi antara kami. Bagaimana kami mahu atasinya jika kami tidak beraksi dengan baik,” katanya.
Kejayaan mara ke final Terbuka China meletakkan Izzuddin-Sze Fei hanya selangkah untuk menyamai rekod legenda badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek-Datuk Razif Sidek yang menjadi wakil tunggal Malaysia muncul juara beregu lelaki di Terbuka China pada edisi 1989.
Izzuddin-Sze Fei akan bertemu pemenang perlawanan antara rakan senegara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dengan gandingan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu pada aksi final, esok.
“Tidak kira siapa pun kami bertemu esok, kami akan cuba melakukan yang terbaik,” kata Sze Fei.
sumber:- BH
Juara bagi acara beregu akan membawa pulang hadiah wang tunai lumayan AS$148,000 (RM622,086) manakala naib juara AS$70,000 (RM294,230).