Sabah FC terlepas peluang untuk melonjak ke tangga ketiga Liga Super selepas tewas tipis 0-1 di tangan PDRM FC pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan skuad ‘Badak’ terus kemarau kemenangan dalam tiga aksi terakhir selepas jaringan tunggal pemain gantian PDRM FC, Ifedayo Olusegun memusnahkan impian mereka di tempat lawan.
Kemenangan ini bagaimanapun sudah pasti melegakan ‘The Cops’ terutamanya selepas mereka dibelasah Sri Pahang FC (SPFC) 1-5 pada aksi terakhir, minggu lalu dan melakar keputusan pertama tanpa bolos dalam liga musim ini.
Sabah FC bermula garang dengan terus mengasak kubu PDRM FC dari awal permainan dan percubaan terbaik mereka hadir pada minit kelima namun tandukan Daniel Ting yang cuba menyambung tandukan Joao Pedro tersasar di hadapan gawang tuan rumah.
Sabah FC cemas seketika pada minit ke-13 apabila hantaran lintang Alif Naquiddin Mohd Shouffi daripada bahagian sayap kiri PDRM FC tepat ke Damien Lim namun tangkapannya terlucut, mujurlah bola melepasi palang untuk sepakan sudut buat PDRM FC.
Damien cemerlang memastikan gawangnya tidak bolos apabila menepis percubaan Bruno Suzuki pada minit ke-26 sebelum giliran penjaga gol PDRM FC, Bryan See menyelamatkan gawangnya apabila menangkap kemas percubaan Jafri Firdaus Chew pada minit ke-32.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan buntu mendapatkan gol pembukaan selepas percubaan yang dilakukan tidak cukup untuk menewaskan penjaga gol lawan masing-masing.
PDRM FC mendapat peluang pada minit ke-71 namun percubaan Bruno Suzuki tersasar tinggi melewati palang sebelum jaringan pembukaan yang diburu menjadi milik tuan rumah menerusi sentuhan Ifedayo pada minit ke-80.
sumber:- BH
Tuan rumah berjaya mempertahankan kelebihan satu gol sehingga wisel penamat dibunyikan sekali gus membolehkan mereka mengutip tiga mata di laman sendiri.