sukan

Rayuan TFC sahkan ditolak

Impian peminat skuad Penyu untuk melihat penyerang import baharu, Nelson Bonilla beraksi pada saingan Kejohanan Kelab Asean (ACC) tidak kesampaian selepas rayuan untuk mendaftarkan pemain kelahiran El-Sarvador itu tidak berjaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) Mohd Sabri Abas berkata walaupun kecewa, pihaknya terpaksa akur kerana tempoh pendaftaran pemain ACC sudah ditutup.

“Kami memang menaruh harapan agar Bonilla dapat membantu Terengganu FC (TFC) menajamkan jentera serangan untuk kita pergi lebih jauh dalam saingan ACC.

“Bagaimanapun, kita terima keputusan rayuan dan akan teruskan dengan pemain sedia ada. Peminat dapat melihat Bonilla beraksi dalam Liga Super,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Mohd Sabri berkata TFCSB juga menyambut baik keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membenarkan pasukan yang beraksi pada kejohanan anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) menambah dua lagi pemain import.

Mohd Sabri bagaimanapun berkata pihaknya tidak berhasrat mendapatkan khidmat pemain import baharu kerana tempoh pendaftaran pemain bagi ACC sudah ditutup dan akan dibuka semula tahun depan.

“TFCSB berpandangan langkah itu adalah positif iaitu dapat memperkuat empat pasukan Liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC (SFC), KL City FC (KL City) dan TFC sendiri dalam menghadapi pertandingan di luar negara.

“Kami tidak akan membawa masuk pemain import baharu dan bersedia dengan tenaga yang ada,” katanya.

MFL baru-baru ini membenarkan JDT, SFC, KL City dan TFC yang beraksi dalam saingan ACC, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) mendaftar sehingga 12 pemain asing berbanding 10 pemain asing mengikut peraturan asal.

sumber:- HM

Perubahan itu dibuat susulan keputusan terbaharu AFC yang memperkenalkan peraturan pendaftaran pemain asing tanpa had dalam pertandingan kelab anjurannya.