sukan

Pasangan yang ditewaskan Soon Huat-Shevon Lai bukan calang-calang

Pasangan beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, mempamerkan aksi cemerlang di Terbuka China iatu kejohanan berstatus Super 1000, apabila mara ke separuh akhir selepas menumbangkan pasangan nombor dua dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.

Perlawanan di Pusat Sukan Olimpik Changzhou itu menyaksikan gandingan ke-12 dunia itu mencatat kemenangan straight set 23-21, 21-16 dalam masa 34 minit.

Menurut Shevon kemenangan itu sangat memuaskan hati mereka, memandangkan mereka tidak pernah mengalahkan pasangan tuan rumah itu dalam lima pertemuan sebelum ini.

“Saya perlu mengatasi ketakutan ini kerana belum pernah menang ke atas mereka. Hari ini, kami berdua bermain dengan sangat baik dan angin di gelanggang memberi kami sedikit kelebihan,” katanya.

Soon Huat menambah bahawa kebangkitan mereka dalam set pertama memberi keyakinan untuk terus menguasai perlawanan.

“Mereka mendahului 19-16, tetapi kami kejar mata demi mata dan itu memberi kami lebih keyakinan,” katanya.

Selepas kemenangan itu, Soon Huat-Lai Shevon akan bertemu satu lagi pasangan tuan rumah, Cheng Xing-Zhang Chi, yang menewaskan gandingan Korea Selatan, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 21-15, 21-19.

Turut melangkah ke separuh akhir ialah beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani selepas menumpaskan gandingan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Mereka yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh berjaya mencatat kemenangan straight set 21-19, 21-18.

Menanti mereka di separuh akhir ialah gandingan Indonesia, Shohibul Fikri-Daniel Marthin yang mengalahkan Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari Denmark 21-19, 21-19.

sumber:- HM

Sementara itu, harapan satu lagi wakil negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, terkandas di suku akhir selepas tewas kepada gandingan Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja 14-21, 9-21 dalam masa 35 minit.