Beberapa tonggak utama Kuala Lumpur City FC (KL City FC) bagaikan umpama ‘peminta sedekah’ apabila terpaksa meminjam duit bagi meneruskan kehidupan.
Menerusi tinjauan Arena Metro, didapati ada pemain Liga Super pasukan itu terpaksa pulang ke kampung selepas ketiadaan duit ekoran kegagalan pasukan itu membayar gaji pemain yang sangkut.
Menurut sumber yang juga pemain skuad The City Boys, dia terpaksa meminta pertolongan bagi meringankan bebannya yang tidak dibayar gaji selama tujuh bulan setengah.
Sumber yang cukup rapat dengan individu itu kemudiannya menghulurkan sedikit bantuan dengan mengeluarkan duit poket sendiri untuk membantunya.
“Ini bukan pertama kali beliau (individu membantu yang juga salah seorang pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur) memang banyak membantu pemain.
“Kalau ikutkan pengurusan lain semua lari atau menabur janji kosong saja, tetapi beliau ini selalu membantu pemain dengan menghulurkan duit ‘runcit-runcit’ untuk kami.
“Walaupun sikit tapi ia bermakna. Saya terpaksa minta bantuannya walaupun terpaksa tebalkan muka,” katanya yang menerima RM500 daripada individu itu.
Difahamkan individu itu sudah banyak berkorban jutaan ringgit dalam membantu KL City sama ada secara langsung atau tidak langsung.
“Kami ada menerima gaji untuk bulan April dan separuh gaji untuk bulan Mei. Maknanya KL City berhutang dengan saya tujuh setengah bulan lagi,” katanya.
sumber:- HM
Sebelum ini, ketua pasukan KL City, Paulo Josue mendedahkan tidak menerima gaji sejak awal tahun selain potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dicarum dari tahun lalu.