sukan

Zii Jia akhirnya buka mulut isu kekalahan memalukan 2-21

Pemain profesional lelaki negara Lee Zii Jia mungkin sudah boleh menekan ‘butang panik’ susulan penyingkirannya di pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka China, hari ini.

Tiba di Changzhou dengan status pilihan ketiga kejohanan bertaraf Super 1000 BWF itu, pemain Jepun Koki Watanabe sepatutnya tidak bermasalah untuk disingkirkan Zii Jia tetapi sebaliknya berlaku.

Sekalipun tampak yakin di awal permainan, pemain kelahiran Kedah itu tumbang dalam permainan straight set dan lebih mengecewakan selepas kalah 15-21 pada set pertama, kekalahan memalukan 2-21 diperoleh pada set kedua.

Apa lebih mengecewakan, kekalahan itu mengikuti aksi mengecewakan di Terbuka Jepun bulan lalu yang turut menyaksikan pemain berusia 26 tahun itu tersungkur awal di pusingan pertama.

Ketika ditemuramah BWF (Persekutuan Badminton Dunia), Zii Jia mengakui keadaan dirinya masih belum berada di tahap terbaik dan apa yang aneh, dia sendiri tidak mempunyai jawapan kepada situasi itu.

“Seperti yang kamu dapat lihat, saya mendahului agak jauh pada set pertama tetapi tidak dapat menamatkannya dengan kemenangan,” kata Zii Jia.

“Sejujurnya, keadaan saya belum lagi berada di tahap terbaik dan masih banyak perkara yang perlu saya lakukan untuk mendapatkan kembali keadaan terbaik saya.

“Saya tidak mendedahkan kepada media tetapi selepas Olimpik, keadaan badan saya agak pelik, saya menghadapi banyak kecederaan yang saya dapat dan saya sendiri tidak dapat jelaskan.”

Mengulas lanjut, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu berkata tumpuannya adalah untuk mendapatkan kembali kecergasan penuhnya kerana misi utamanya adalah untuk melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir BWF.

“Seperti saya katakan, ia agak pelik kerana apabila saya menjalani latihan berintensiti tinggi, saya akan mengalami kesakitan di mana-mana, di bahagian siku, lutut, bahagian belakang saya menjadi keras.

“Apapun, ini adalah perkara yang perlu saya selesaikan kerana saya perlu mendapatkan kembali kecergasan saya kepada 100 peratus untuk melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir BWF,” kata Zii Jia.

Sekalipun hanya berada di gelanggang di Terbuka China selama 29 minit, Zii Jia begitupun menyatakan rancangannya selepas ini adalah untuk menyertai Terbuka Artik 2024 yang dijadual berlangsung di Finland, 8 hingga 13 Oktober ini.

sumber:- BH

Selain Zii Jia, turut tersingkir di pusingan pertama adalah pemain perseorangan profesional wanita negara, Goh Jin Wei yang tewas kepada pemain Taiwan, Sung Shuo Yun dalam aksi tiga set 9-21, 21-12,8-21.