Johor Darul Ta’zim (JDT) yang `berwajah baharu’ tampak bersedia memulakan kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) apabila berdepan Shanghai Port FC di Stadium Bolasepak Pudong, Shanghai, China, malam esok.
Sedar betapa saingan elit Asia bola sepak itu memerlukan barisan pemain yang berkualiti pada musim ini, tidak hairan dengan langkah JDT membawa masuk enam muka baharu Jorge Obregon, Enzo Lombardo, Iker Undabarrena, Eddy Israfilov, Park Jun-heong dan penjaga gol, Andoni Zubiaurre.
Justeru pengendali JDT, Hector Bidoglio mahu barisan pemain yang bakal diturunkan harus lebih dinamik dan beraksi dengan corak permainan berintensiti tinggi walaupun tidak menolak bakal berdepan tugas getir pada perlawanan itu nanti.
“Saingan ACLE berbeza dengan kancah liga tempatan kerana intensiti permainan lebih laju serta lebih berdinamik malah transisi bola juga akan pantas, oleh itu setiap pemain JDT harus bersedia untuk berdepan situasi berbeza nanti.
“Apapun saya optimis kami berada di landasan yang tepat terutama dari aspek persiapan untuk mengharungi saingan elit Asia itu malah kami terus bekerja keras bagi membuat persiapan yang lebih jitu untuk aksi pertama ACLE.
“Saingan ACLE penting buat kami dan kami berada di dalam `mood’ terbaik bagi berdepan kelab dari China walaupun kita tahu aksi nanti lebih kepada corak permainan fizikal oleh pasukan lawan tapi kami harus bersedia,” katanya.
Apapun, JDT perlu berdepan kelincahan barisan pemain Shanghai Port FC yang memiliki pemain berprofil tinggi iaitu bekas pemain kelab Chelsea, Oscar selain kelibat Tyias Browning yang pernah beraksi untuk Liga Perdana Inggeris (EPL), Everton.
Malah lawan turut dibarisi bekas pemain tengah pertahanan Qatar SC, Mattheus Jussa dan bekas penyerang tengah kelab Korea Selatan, Jeonbuk SC, Gustavo Henrique da Silva Sousa.
“Pendekatan taktikal saya lebih tertumpu dengan corak serangan bertahan secara kompak dan paling penting mengekalkan penguasaan bola dan semua itu akan menghasilkan corak permanan seimbang walaupun kami tahu beraksi di tempat lawan tentunya mencabar tetapi kami sudah bersedia.
sumber:- HM
“Kami harus buktikan sesuatu dalam kancah ACLE dan tidak dinafikan pasukan lawan memiliki skil individu yang baik malah mereka gemar bermain secara menyerang dan ia pasti menarik kerana saya juga ada barisan terbaik dan gemar bermain secara ofensif,” katanya.