sukan

Ia kisah dongeng yang jadi kenyataan- Deijl

Calon baharu tonggak warisan negara, Mats Deijl dari Belanda sifatkan jika dirinya berjaya mendapatkan pasport Malaysia dan menyarung jersi skuad Harimau Malaya umpama sebuah kisah dongeng yang menjadi kenyataan.

Pengakuan itu dibuat Deijl ketika ditemubual oleh stesen radio di Belanda yang mengajukan soalan tentang kesediaannya bermain untuk skuad kebangsaan.

Kata ketua pasukan kelab utama saingan Eredivisie, Go Ahead Eagles itu, dia sudah lama mengidam untuk beraksi di pentas antarabangsa buat pasukan Malaysia.

“Saya fikir jika berjaya mendapatkan pasport Malaysia, sudah semestinya ia sesuatu yang fantastik, kalau dapat menyarung jersi skuad kebangsaan Malaysia.

“Ia satu perkara yang dah lama saya idamkan. Peluang bermain untuk pasukan kebangsaan Malaysia sememangnya amat istimewa.

“Ia macam sebuah cerita dongeng yang jadi kenyataan. Jika semua dokumen dapat diselesaikan ia memang dinantikan,” katanya.

Terdahulu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dedahkan pihaknya sudah berhubung dengan Deijl yang memiliki pertalian darah dengan negara ini dari sebelah datuknya.

Kehadiran Deijl sememangnya diharapkan di mana dia dilabel pemain bergred ‘A’ seperti mana Dion Cools sekali gus kehadirannya akan menambah kekuatan skuad negara.

Untuk rekod, dia beraksi di posisi pertahanan kanan dan turut mampu menyumbangkan jaringan di mana dalam 96 penampilan bersama Go Ahead Eagles, Deijl sudah meledak lima gol.

Selain dua pemain kacukan itu, kem negara ketika ini turut memiliki lima pemain warisan terdiri daripada Matthew Davies, Corbin Ong, Nooa Laine, Daniel Ting dan Darren Lok.

sumber:- HM

Pasukan negara juga diperkuatkan dengan kehadiran tiga pemain naturalisasi iaitu Endrick dos Santos, Paulo Josue dan Romel Morales.