sukan

Cesc Fabregas bakal dihalau dari rumah

Cesc Fabregas berdepan risiko diusir dari rumahnya, hanya kerana tidak membayar sewa, lapor media antarabangsa.

Legenda Arsenal dan Chelsea itu pada ketika ini menggalas tugas sebagai pengendali untuk sebuah kelab Itali, Como.

Fabregas yang juga pemenang Piala Dunia dan keluarganya baru-baru ini berpindah ke sebuah apartmen mewah di sebuah bandar di Switzerland, Bissone.

Terletak berhampiran Lugano, ia hanya kira-kira 25 kilometer (km) merentasi sempadan Itali dari Como.Namun pemilik hartanah itu dilaporkan memfailkan notis pengusiran menerusi mahkamah pada awal bulan ini.

Bekas pemain Sepanyol, Fabregas didakwa berhutang 34,000 swiss francs (RM172,939) kerana tunggakan sewa dan caj yang lain.

Pemilih hartanah itu memberitahu media Itali: “Kami cuba menghubungi peguam Fabregas, tetapi tidak berhasil.”

Mahkamah kini boleh mengarahkan polis mengusir bekas pemain tengah itu dan keluarganya jika tidak melakukan bayaran dalam masa seminggu.

Peguam Fabregas, Roy Bay dalam pada itu menegaskan: “Kesemua bayaran sewa sehingga sekarang sudah dibuat secara penuh. Adakalanya tidak dibuat tepat pada masanya, kerana terdapat beberapa kerosakan dan masalah dengan bangunan berkenaan.”

Masalah Fabregas tidak terhad terhadap situasi berkenaan sahaja malah dia turut berdepan kesulitan memandangkan Como masih belum memenangi perlawanan dalam empat aksi Serie A.

Skuad kendalian Fabregas kini berada di kedudukan ke-18 daripada 20 pasukan.Sabtu lalu, mereka terikat 2-2 dengan Bologna yang bangkit selepas ketinggalan 0-2.

sumber:- BH

Bekas bintang Liga Perdana Inggeris Pepe Reina, Raphael Varane, Alberto Moreno dan Patrick Cutrone turut berada dalam skuad Como. – AGENSI