Pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain jelas perlu mengharungi ‘badai’ terbesar dalam kariernya sepanjang bergelar jurulatih selepas hilang pemain dari skuad utama ketika menentang KL City FC, minggu lalu.
Ini memaksa Nafuzi menukar perancangan dengan meletakkan kepercayaan kepada pemain skuad Bawah 23 tahun (B-23) namun mereka dibelasah KL City FC 0-5 pada aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur itu.
Namun bagi Nafuzi, dia menyifatkan detik sukar yang dialaminya ketika ini sebagai satu cabaran sekali gus menganggap perkara seperti ini dapat mematangkan lagi dirinya sebagai seorang jurulatih.
“Sebagai jurulatih muda, kita masih belum ada pengalaman, jadi ini satu proses untuk saya belajar bagaimana menguruskan pasukan yang bermasalah sebegini.
“Sudah tentulah saya mahukan pasukan yang terbaik, ini satu cabaran untuk saya hadapi dan saya perlu lalui pengalaman pahit ini. Reputasi jurulatih pun berdasarkan kepada keputusan tetapi saya faham apa yang pemain hadapi.
“Inilah situasi yang perlu dihadapi seorang jurulatih pada masa pasukan sempurna ataupun ada masalah, kita laluinya dan pengalaman yang saya belajar ini dapat lebih mematangkan saya sebagai jurulatih,” kata Nafuzi.
Dalam perkembangan sama, bekas jurulatih Terengganu FC (TFC) itu kekal optimis dengan peluang pasukan itu untuk terus mencabar jika masalah terbabit dapat diselesaikan dan pemain utama dapat kembali menyertai pasukan.
“Kita masih berpeluang untuk berada dalam kelompok yang terbaik kerana banyak lagi perlawanan untuk diharungi dan pusingan pertama liga pun belum berakhir.
“Kita perlu kuatkan pasukan dan dapat bergerak dengan baik tanpa masalah yang kita hadapi sebelum ini,” katanya.
sumber:- BH
Selepas mengharungi sembilan perlawanan, skuad ‘Kenari’ kini menghuni tangga ke-11 liga dengan lapan mata menerusi dua kemenangan dan empat keputusan seri.