Sri Pahang FC membelasah PDRM FC 5-1 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, sebentar tadi.
Kejayaan itu adalah kemenangan kedua buat skuad Tok Gajah musim ini selepas kali terakhir menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 1-0 pada 11 Mei lalu.
Bagaimanapun, tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-16 untuk membolosi gawang lawan hasil jaringan penyerang import, Kpah Sherman.
Skuad kendalian Fandi Ahmad terus beraksi cemerlang apabila meledak gol kedua menerusi Stefano Brundo pada minit ke-25 dan selang seminit, Manuel Hidalgo memastikan tuan rumah selesa dengan kedudukan 3-0.
Keadaan itu menyaksikan pengendali PDRM, P Maniam mengeluarkan penjaga gol Nor Hakeem Hamidun dan menggantikannya dengan See Tian Keat.
Pada minit ke-29, penyerang lawan, Ifedayo Olusegun hampir menjaringkan gol tetapi bola sepakan percuma melepasi palang tuan rumah.
Sebaliknya, Brundo menjaringkan gol keempat buat Sri Pahang yang juga kedua peribadi pada perlawanan itu minit ke-32 dan keputusan 4-0 kekal pada separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Sri Pahang tidak menunggu lama untuk menambah jaringan kelima apabila Sherman berjaya menewaskan penjaga gol lawan, Tian Keat ketika perlawanan baharu seminit bersambung.
sumber:- BH
PDRM akhirnya berjaya membolosi gawang tuan rumah hasil daripada tandukan penyerang import mereka, Bruno Suzuki yang menewaskan penjaga gol Sri Pahang, Zarif Irfan Hashimuddin pada minit ke-72.