Kurang klinikal di kawasan ‘D’ dan kerap melakukan kesilapan mudah menjadi antara punca Speedy Tigers menamatkan kempen Trofi Juara-Juara Asia (ATC) 2024 di China dengan nota mengecewakan.
Skuad hoki lelaki negara terpaksa menerima hakikat pahit menghuni tangga tercorot kejohanan membabitkan enam pasukan itu selepas tewas 2-4 kepada Jepun menerusi penalti shoot-out dalam penentuan tempat kelima dan keenam, hari ini.
Akur keputusan yang diraih mengecewakan, ketua jurulatih Sarjit Singh berkata anak buahnya tidak menyangka Jepun berjaya membawa permainan ke penalti shoot-out selepas terikat 4-4 tamat masa permainan.
“Kami ada peluang untuk menjaringkan gol tetapi kurang klinikal di dalam kawasan ‘D’,” kata Sarjit mengulas kekalahan kepada Jepun itu.
“Kami juga melepaskan gol yang agak mudah dan membenarkan Jepun untuk melakukan kebangkitan. Kami mendahului dan membenarkan lawan bangkit dengan memberi gol-gol yang tidak sepatutnya.
“Pemain sudah berusaha keras namun kesilapan mudah memusnahkan harapan kami untuk memenangi perlawanan.
“Kami tidak menjangkakan perlawanan akan berakhir dengan shoot-out, kerana kami yakin mampu untuk menamatkan perlawanan dalam tempoh 60 minit.”
sumber:- BH
Tiba di Hulunbuir, China dengan status naib juara edisi tahun lalu di India, keputusan kali ini sebagai rekod adalah yang terburuk pernah diraih skuad Speedy Tigers sepanjang tujuh penampilannya di kejohanan itu.