sukan

Kedah berisiko hilang daripada ‘peta’ Liga Malaysia

Kedah Darul Aman (KDA) FC berisiko menerima nasib sama seperti yang menimpa bekas jaguh Pantai Timur, Kelantan FC apabila hilang daripada ‘peta’ Liga Malaysia (Liga M) jika masalah membelenggu pasukan itu gagal diselesaikan sebaiknya.

Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli melontarkan amaran betapa KDA FC menunjukkan trend untuk menuju ke arah ‘kehancuran’ seperti yang sudah ditunjukkan oleh skuad ‘The Red Warriors’ (TRW) yang disingkirkan daripada saingan Liga Super musim ini.

Tegasnya, keputusan pemain KDA FC yang mengambil tindakan untuk memboikot daripada terbabit dalam perlawanan memberi petanda buruk dan ia situasi yang menyedihkan apabila pasukan dengan reputasi gah seperti KDA FC mengalami masalah terbabit.

“Kita nampak KDA FC sedang menuju ke arah itu. Kisahnya agak sama dengan Kelantan FC bermula dengan tunggakan gaji, kemudian tiada pemain untuk diturunkan sehingga terpaksa guna pemain daripada skuad lain, kemudiannya jadi pasukan belasahan.

“Apabila ini berlaku, kita boleh anggap pasukan KDA FC ini bukanlah pasukan yang sebenar, sudah tidak wujud pasukan KDA FC itu dan sudah bungkus. Jadi apa guna lagi kewujudan pasukan ini dalam Liga Super jika tidak dibarisi pemain yang sepatutnya?.

“Bayangkan jumpa pasukan yang sama-sama ada masalah gaji pun, KDA FC jadi pasukan belasahan tetapi ini perkara yang terpaksa dilakukan sehingga mengetepikan maruah dan perasaan malu kepada penyokong.

“Ini kebimbangan kita dan saya lihat, KDA FC berpotensi jadi seperti Kelantan FC dan akhirnya lenyap daripada saingan profesional jika masalah ini terus berlanjutan dan pemain terus melakukan boikot,” kata Pekan.

Dalam perkembangan sama, Pekan turut melihat langkah KDA FC menggunakan pemain muda selepas ketiadaan pemain utama boleh menjadi langkah untuk ‘set mula’ pasukan dan pendekatan sama boleh dilakukan pasukan lain pada musim baharu nanti.

“Tidak ada masalah untuk beri peluang kepada pemain muda, itu langkah yang bagus tetapi mereka pun perlu pastikan pemain muda ini pun tidak berdepan situasi sama dengan pemain utama. Jangan pula mereka pun tidak dapat gaji, jadi kitaran ini tidak terhenti.

“Mereka pun perlu selesaikan juga masalah yang dihadapi. Saya rasa ini memberi kesedaran yang tinggi kepada pasukan untuk musim depan dan cuba lihat pasukan daripada perspektif yang berbeza.

sumber:- BH

“Kalau tidak mampu, bentuklah pasukan dengan barisan pemain muda, terapkan lokaliti itu dengan gunakan pemain tempatan kerana pemain tempatan ini juga akan menjadi aset untuk skuad kebangsaan nanti,” katanya.