Pemain skuad bawah 19 tahun (B-19), Ariff Safwan Safri mahu rakan sepasukan khususnya di jentera serangan supaya menjadi lebih ‘tajam’ di hadapan gol pada kempen Kelayakan Piala Asia Bawah 20 tahun (B-20), bermula Ahad ini.
Pertahanan muda Johor Darul Ta’zim III (JDTIII) itu melihat aspek penyudah masih perlu diperkemas oleh rakan sepasukannya memandangkan mereka akan berdepan cabaran yang sukar pada kempen kelayakan di Tajikistan itu.
“Mengenai taktikal dan perkara lain, kami sudah bersedia selepas mengharungi persiapan di China sebelum ini. Tetapi kita masih perlu perbaiki daripada segi penyudah.
“Mungkin corak permainan kita sudah okay, cuma bahagian penyudah itu kita harus lebih tajam untuk menjaringkan gol. Jadi apabila ada peluang, kita kena sudahkannya,” katanya.
Dalam masa sama, pemain berusia 19 tahun itu mengakui keserasian tidak menjadi masalah dalam pasukan itu dan mereka tekad untuk tampil dengan aksi yang lebih baik pada kelayakan kali ini.
“Sudah tentu kami ada keserasian yang baik cuma apabila di bahagian penyudah, mungkin tiada rezeki untuk kita menjaringkan gol tetapi kita akan terus mencuba.
“Bagi kempen kelayakan kali ini, kita akan perbaiki apa yang patut selain kita mengharapkan kita dapat menunjukkan aksi yang terbaik di bahagian pertahanan dan menyerang,” katanya.
Pada pusingan kelayakan kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama Tajikistan, Oman, Sri Lanka dan Korea Utara dengan hanya juara kumpulan dan lima naib juara terbaik akan mengesahkan slot ke pusingan akhir di China, tahun depan.
sumber:- BH
Pencapaian terbaik skuad negara pada Piala Asia B-20 adalah muncul naib juara dalam tiga edisi iaitu 1959, 1960 dan 1968.