PENJAGA gol Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi menamatkan kontrak secara persetujuan bersama dengan kelab bola sepak itu.
KDA FC dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan selepas perbincangan mendalam antara Kalamullah Al-Hafiz, barisan kejurulatihan dan pengurusan kelab, kesemua pihak memutuskan untuk membawa haluan berbeza.
“Penamatan kontrak secara persetujuan bersama…dalam keadaan yang sukar ini, kehilangan Kalamullah Al-Hafiz di kemuncak kerjaya dalam prestasi antara penjaga gol terbaik Harimau Malaya, keputusan yang diambil oleh pemain ini dan pengurusan tidak mudah.
“Namun, situasi semasa Sang Kenari, ini adalah keputusan terbaik untuk kedua-dua pihak,” katanya.Kalamullah Al-Hafiz bangkit dan mempamerkan prestasi cukup baik di kala pasukan masih terumbang-ambang mencari rentak awal musim ini, seterusnya membantu KDA FC layak ke separuh akhir Piala FA musim ini.
Pihak pengurusan KDA FC mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti pemain tersebut selama mewakili Sang Kenari dan mendoakan kerjayanya terus maju bersama pasukan baharu.
Kalamullah Al-Hafiz yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan menyertai KDA FC dari Petaling Jaya City (PJ City) pada 2022.
sumber:- SH
Sebelum ini, media melaporkan KDA FC didakwa menghadapi masalah kewangan yang menyebabkan tunggakan gaji pemain selama beberapa bulan hingga menyebabkan pemain memboikot sesi latihan pasukan. – Bernama