Pakar kewangan bola sepak, Kieran Maguire percaya Manchester City berdepan pemotongan sehingga 100 mata jika didapati bersalah dalam semua 115 dakwaan dihadapi kelab itu.
City didakwa melanggar peraturan kewangan dari tahun 2009 hingga 2018 dan hukuman paling berat jika didapati bersalah ialah penyingkiran liga. Pemotongan mata dan denda juga berpotensi dikenakan.
Liga Perdana Inggeris mendakwa City di atas kegagalan mereka menyerahkan maklumat kewangan tepat dan butiran terperinci pembayaran pemain serta pengurus pasukan.
Siasatan dicetus hasil laporan dokumen Football Leaks oleh Der Spiegel pada tahun 2018, dan City didakwa menyalurkan wang daripada pemilik kelab kepada penaja-penaja di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pendengaran kes pelanggaran peraturan kewangan City akan bermula Isnin ini.Maguire menjangkakan bahawa City mungkin dikenakan pemotongan mata yang besar jika didapati bersalah atas semua tuduhan.
“Mereka mungkin menghadapi pemotongan mata yang sangat besar jika kesemua 115 tuduhan itu terbukti,” katanya kepada talkSPORT.”Anda akan membayangkan bahawa pemotongan mata itu mungkin berada dalam lingkungan 60 hingga 100 mata kerana mereka mahu kelab itu tersingkir daripada liga.”
Pendengaran kes City dijangka berlarutan sehingga dua bulan, tetapi keputusan paling awal hanya akan diperoleh sekitar Mac tahun depan.
sumber:- HM
Pengurus City, Pep Guardiola menegaskan bahawa kelab itu sudah bersedia untuk mengetahui nasib mereka dan berkata dia gembira kerana perbicaraan itu akhirnya akan bermula.