sukan

Keputusan aksi Tang Jie-Ee Wei berdepan Regu China di Separuh Akhir

Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terpaksa akur dengan kekalahan di separuh akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong apabila tumpas kepada pilihan kedua dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Pada perlawanan yang berlangsung di Hong Kong Coliseum, Kowloon sebentar tadi, pasangan negara tewas menerusi aksi straight set 14-21, 21-23, sekali gus gagal meneruskan momentum kemenangan di Terbuka Korea dua minggu lalu.

Pasangan China memulakan perlawanan dengan aksi cukup agresif sehingga memberi kesukaran kepada pasangan No.9 dunia itu untuk bangkit menguasai aksi set pertama.

Dalam perlawanan penuh mendebarkan itu, Yan Zhe-Dong Ping menampilkan aksi cukup dominan apabila konsisten memberikan cabaran sukar kepada Tang Jie-Ee Wei yang cuba mengekalkan tempo permainan.

Pada set kedua, Tang Jie-Ee Wei berjaya menyamakan kedudukan 16-16 sebelum mendahului 17-16, namun ia tidak bertahan lama apabila beregu China itu kembali berada di depan, seterusnya memenangi perlawanan 23-21.

Kekalahan itu sekali gus meleburkan hasrat Tang Jie-Ee Wei untuk merangkul gelaran kedua berturut-turut selepas memenangi Terbuka Korea dua minggu lalu menewaskan satu lagi beregu China, Guo Xin Wa-Li Qian.