Pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei menegaskan kekurangan rakan sepelatih berkualiti tinggi di kem latihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu diberi perhatian.
Ee Wei bersama gandingannya, Chen Tang Jie, semalam tersingkir di peringkat separuh akhir Terbuka Hong Kong selepas tumpas kepada pilihan pertama dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Turun di Hong Kong Coliseum sebagai pilihan keempat kejohanan, Tang Jie-Ee Wei kalah dalam perlawanan straight set 14-21, 21-23 sekali gus gagal meneruskan momentum ketika menjuarai Terbuka Korea dua minggu lalu.
“Mereka (Yan Zhe-Dong Ping) adalah gandingan terbaik dunia dan bermain dengan amat baik jadi kekalahan ini turut memberikan kami pengajaran dan berharap dapat memperoleh sesuatu daripadanya,” kata Ee Wei ketika ditemuramah BWF.
Mengulas lanjut, Ee Wei berkata kelebihan gandingan China itu adalah disebabkan mereka mempunyai rakan sepelatih yang berkualiti tinggi.
“Mereka (China) mempunyai rakan latihan yang cukup baik kerana mereka juga mempunyai tiga beregu campuran terbaik dunia ketika ini.
“Kualiti latihan mereka pastinya cukup tinggi dan bagi saya, itulah apa yang kami kurang ketika ini dan kami benar-benar perlu memperbaiki perkara ini,” kata Ee Wei.
Menghuni ranking kesembilan dunia, gandingan Tang Jie-Ee Wei adalah pasangan beregu campuran terbaik negara ketika ini.
sumber:- BH
Ini kerana sekalipun Malaysia masih mempunyai dua pasangan yang mengisi ranking 20 terbaik dunia iaitu Goh Soon Huat-Shevon Lai (ke-12) dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (ke-18), kedua-duanya kini tidak lagi bernaung di bawah BAM.