sukan

JDT bawa bendera Malaysia

Pasukan Liga Super diharap dapat berkembang dan memberi saingan sengit kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali gus dapat meningkatkan lagi tahap Liga Malaysia (Liga M).

Harapan itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Giorgio Pompili Rossi yang turut menyifatkan Harimau Selatan sebagai contoh terbaik buat kelab lain dalam Liga M.

Malah, bekas Delegasi LaLiga di Malaysia itu turut menaruh impian untuk melihat skuad kendalian Hector Bidoglio melangkah sejauh mungkin dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) yang akan membuka tirai Selasa ini.

“JDT sudah banyak tahun muncul juara (dalam Liga M), maksud saya pasukan itu bagus dan kuat. Saya harap mereka akan pergi sejauh mungkin dalam kejohanan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia).

“Mereka membawa bendera Malaysia, jadi kalau mereka pergi jauh, ia bagus untuk bola sepak Malaysia. Bagi peringkat domestik, JDT bukan sahaja contoh rujukan, mereka juga bagus dalam pengurusan dan fasiliti.

“Saya percaya dan berharap kelab lain cuba untuk bersaing dengan mereka, cuba mencabar mereka. Jika itu berlaku, tahap liga akan meningkat. Ia juga cabaran untuk pasukan lain berkembang,” katanya.

JDT mendominasi saingan Liga M sejak beberapa tahun lalu yang mana Harimau Selatan berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super selama 10 musim berturut-turut sejak 2014.

Kelab milik Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail itu turut memenangi gelaran Piala Malaysia dan Piala FA empat kali selain sembilan kali menjulang trofi Piala Sumbangsih.

sumber:- BH

JDT yang kini memimpin saingan Liga Super 2024/25 akan membuka tirai ACLE menentang kelab China, Shanghai Port FC di gelanggang lawan, Rabu ini.