Gandingan penyerang import baharu Selangor, Ali Olwan dan Ronnie Fernandez boleh dianggap sebagai taruhan terbesar Selangor bagi menghadapi kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) yang membuka tirai, Khamis ini.
Olwan yang membuat penampilan sulung bersama Selangor dalam kancah Liga Super, malam tadi berjaya memberi impak positif apabila dia membantu Gergasi Merah meraih kemenangan besar 4-0 ke atas Kuching City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Pemain kebangsaan Jordan itu menjadi penyumbang kepada jaringan pertama Selangor yang dihasilkan Fernandez pada minit ke-11.
Gandingan dua penyerang itu terus membuahkan hasil apabila Olwan berjaya membuka akaun gol bersama Selangor selepas meledak gol kedua Gergasi Merah dengan menyudahkan hantaran Fernandez pada minit ke-67.
Ketua jurulatih Selangor, Nidzam Jamil turut memuji impak segera yang diberikan Olwan meskipun tampil buat kali pertama dalam Liga Super selepas menyertai naib juara Piala FA itu, bulan lalu.
“Dia (Olwan) pemain terbaik, hanya dua atau tiga hari lalu baru bermain dua perlawanan dengan pasukan kebangsaannya, kita risau belum cukup tempoh rehat.
“Namun, saya rasa berbaloi sebab dia menjaringkan gol dan bermain dengan baik pada perlawanan permbukaannya (bersama Selangor).
“Kemenangan ini bangkitkan motivasi pasukan, tapi pentas Asia (ACL2) berbeza. Semua pesaing adalah pasukan elit di Asia dan kita harus tingkatkan banyak perkara untuk bersaing di pentas lebih tinggi,” katanya.
Selangor berada di tangga kedua liga dengan mengumpul 22 mata, hanya tiga mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kekurangan satu perlawanan.
Anak buah Nidzam seterusnya akan membuka saingan ACL2 dalam Kumpulan H menentang kelab Thailand, Muangthong United di gelanggang lawan, Khamis ini.
Dalam satu video yang dimuat naik Selangor FC, Olwan turut meluahkan kegembiraannya terutama apabila berjaya menyumbang gol dalam penampilan pertama di pentas Liga Super.
“Saya sangat gembira hari ini untuk perlawanan pertama dan juga jaringan sulung, terima kasih semua,” kata Olwan.
sumber:- BH
Sementara itu, pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak menjelaskan bahawa dia mengambil tanggungjawab susulan kekalahan besar pasukannya kepada Selangor.