sukan

“Dengar sini, budak” — Denis Puric balas cabaran Jojo

Bintang veteran seni bela diri campuran (MMA) Bosnia-Herzegovina, Denis Puric membalas cabaran dilontarkan oleh Johan Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Jojo apabila menyatakan jaguh muda muay thai negara itu belum sedia untuk berentap dengannya dalam gelanggang.

Menerusi hantaran di laman Instagram miliknya, Puric dengan gelaran ‘The Bosnian Menace’ merasakan Jojo memerlukan lebih banyak pengalaman biarpun merasakan atlet negara itu yang akan genap usia 18 tahun pada 14 November nanti mempunyai bakat cukup besar.

“Dengar sini, budak (Jojo). Anda cabar saya tapi sebenarnya anda belum bersedia untuk hadapi semua ini. Anda belum cukup bersedia. Jujurnya, saya bukan nak berlawan dengan orang baru atau belasah budak remaja. Kali ini saya akan lepaskan anda, okey?

“Saya tidak merendahkan sesiapa tetapi dia belum bersedia untuk tahap ini. Lebih baik dapatkan banyak pengalaman dahulu, saya sukakan budak ini dan mahu lihat dia berjaya. Dengan saya, kariernya boleh musnah,” katanya.

Puric, 39, yang pernah berentap dengan legenda ONE Championship dari Thailand, Rodtang Jitmuangnon pada Jun lalu, percaya kemenangan Jojo menumbangkan Josue Cruz menerusi keputusan knockout (KO) baru-baru ini bukan tiket untuk mencabarnya.

“Tapi kalau ONE Championship dan peminat mahukan pertarungan ini, saya tak pernah tolak sebarang cabaran. Tapi jujurnya, anda baru kalahkan beberapa lawan biasa dan fikir anda dah bersedia? Anda belum ‘siap’ bro,” tambahnya.

Sementara itu, Jojo tidak berdiam diri dengan membalas cabaran tersebut dalam ruangan komen dengan penuh keyakinan, menyatakan kesediaannya untuk menghadapi pertarungan tersebut.

“Jujurnya saya cabar kerana hormat anda sebagai seorang peninju. Saya mahu anda jadi cabaran besar yang seterusnya. Saya sudah bersedia 100 peratus. Jika pertarungan ini tak berlaku sekarang, ia pasti akan berlaku suatu masa nanti. Jadi bersedialah,” komen Jojo