Ketua jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menegaskan pasukannya tidak mampu untuk menyaingi kehebatan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas dibelasah 0-5 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
Beliau berkata, skuad bimbingannya tewas kepada antara kelab terbaik Asia dan menerima kekalahan itu namun tetap menyatakan barisan pemainnya sudah memberi yang terbaik dalam perlawanan itu.
“Pemain sudah bermain dengan baik tapi kita kalah kepada pasukan terbaik di Asia, antara kelab terbaik di Asia. Jadi itulah yang berlaku dalam bola sepak dan saya terima keputusan pada malam ini (malam tadi),” katanya.
Beliau juga tampak berpuas hati dengan kualiti permainan pemain import baharu Penang FC, Dylan Wenzel-Halls walaupun bukan posisi sebenar pemain itu apabila perlu beraksi di posisi sayap tatkala mengamal corak permainan bertahan.
‘Itu bukan posisi sebenar Dylan kerana dia merupakan penyerang namun apabila beraksi di posisi sayap dia mempamerkan corak permainan yang baik dan saya berpuas hati ketika dia sudah hampir dua bulan tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif,” jelasnya.
Ditanya mengenai tiga keputusan pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali yang menghadiahkan sepakan penalti dalam perlawanan itu, bekas pemain kebangsaan itu enggan mengulas lanjut sebaliknya menganggap keputusan yang dibuat oleh pengadil itu adalah muktamad.
Beliau menambah tidak mahu mempertikaikan keputusan sepakan penalti itu, seballknya menegaskan Razlan adalah pengadli terbaik yang ada di Malaysia ketika ini dan menyifatkan keputusan yang dibuat adalah tepat.
Mengenai persembahan penjaga gol, Sikh Izhan Sikh Azman yang menjadi penyelamat skuad The Panthers menjadi pasukan belasahan dalam perlawanan itu, Akmal Rizal menyifatkan kecemerlangan pemain itu dibantu oleh barisan pertahanan dan tengah yang mengikut perancangan taktikal untuk beraksi secara bertahan.
sumber:- HM
“Bermula daripada aksi pertama liga sehingga sekarang, Sikh Izhan menunjukkan peningkatan dan beri lebih keyakinan buat barisan pertahanan namun saya akui dia tampak kecewa selepas dibolosi lima gol tapi saya optimis dia akan bangkit,” katanya.