sukan

Pemain darah kacukan tak perlu datang

Kelompok pemain berdarah kacukan yang berpotensi untuk mewakili skuad Harimau Malaya pada masa akan datang perlu terus kekal mewakili pasukan masing-masing di luar negara dan tidak seharusnya beraksi dalam pasukan Liga Malaysia (Liga M).

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim mengakui ini bagi memastikan mereka akan terus mendapat pendedahan dan aksi yang lebih kompetitif di luar negara dan hanya dipanggil pulang apabila khidmat mereka diperlukan untuk aksi antarabangsa di tahap tinggi.

Zulakbal yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu juga optimis kehadiran pemain berdarah kacukan yang berkualiti mampu membantu skuad negara seperti mana yang sudahpun dinikmati pasukan tetangga, Indonesia ketika ini.

“Saya berpendapat pemain ini perlu terus berada bersama pasukan mereka di luar negara, jangan bagi mereka beraksi di sini kerana mereka beraksi di pertandingan yang lebih baik. Jadi ini penting supaya mereka dapat terus berada pada tahap terbaik.

“Apabila ada pertandingan bertaraf tinggi, barulah kita panggil mereka balik tetapi kalau panggil mereka pun, kita kena beri masa untuk mereka sesuaikan diri sebab takut ‘jetlag’, perubahan masa ataupun perubahan cuaca.

“Saya setuju kalau kita gunakan pemain berdarah kacukan kerana ia dibenarkan tetapi saya harap mereka terus kekal bersama pasukan masing-masing yang diwakili ketika ini,” katanya.

Sebagai rekod, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd. Amin sebelum ini mendedahkan dua pemain warisan, Wan Kuzain Wan Kamal dan Mats Deijl semakin hampir diserapkan dalam skuad kebangsaan.

Malah, kapten kelab Burnley yang beraksi di Liga Kejuaraan Inggeris (EFL), Josh Brownhill turut mendakwa memiliki salasilah darah Malaysia.

Dalam perkembangan sama, Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu turut mengharapkan penyokong bersedia untuk menerima perubahan besar jika ramai pemain ‘bermata biru’ membarisi kesebelasan utama skuad kebangsaan selepas ini.

“Perkara ini (guna pemain berdarah kacukan) sudah jadi trend dan FAM pun sudah nyatakan ini adalah perancangan jangka masa sementara sahaja sebelum program pembangunan kita dapat menghasilkan pemain yang lebih berkualiti.

sumber:- BH

“Tetapi kalau kita ada sumber luar yang boleh dimanfaatkan dan tidak menyalahi undang-undang, apa salahnya untuk kita gunakan bagi memantapkan lagi skuad kebangsaan. Walaupun kacukan tetapi mereka masih ada darah Malaysia juga,” katanya.