Pemain Piala Dunia Korea Selatan, Son Jun Ho menangis tersedu-sedu hari ini ketika dia menafikan terbabit dengan mengatur keputusan perlawanan dan mendakwa China memeras ugut selepas mereka menggantungnya seumur hidup.
Jun Ho, yang beraksi dengan Shandong Taishan dalam Liga Super China, dituduh oleh Persatuan Bolasepak China (CFA) terbabit dalam menentukan keputusan perlawanan dan ditahan selama 10 bulan tahun lalu.
Pemain tengah itu, yang tampil dalam tiga daripada empat perlawanan Korea Selatan pada Piala Dunia 2022 di Qatar, kembali ke Korea Selatan pada Mac lalu selepas ditahan pada Mei 2023.
Namun dia seorang daripada 43 individu yang digantung seumur hidup minggu ini oleh pihak berkuasa China kerana dakwaan perjudian dan mengatur perlawanan.
Jun Ho yang kelihatan terlalu emosi dan menangis memberitahu wartawan penangkapannya satu “kejutan luar biasa.”Dia berkata, dia diugut oleh polis China bersama keluarganya, termasuk anak-anaknya, digunakan sebagai bahan untuk memaksa dia mengaku terhadap pertuduhan itu.
“Polis China mengemukakan tuduhan yang tidak masuk akal,” katanya.
“Mereka mengancam jika saya tidak mengaku terhadap pertuduhan itu, isteri saya akan ditangkap menerusi kementerian luar dan dibawa ke pusat tahanan sama untuk disoal siasat bersama saya,” katanya.
Jun Ho berkata, dia tidak diberi penterjemah bahasa Korea yang tepat atau akses kepada seorang peguam dan apabila dia menyedari polis China menuduhnya rasuah, dia “terkedu.”
su,ber:- BH
“Saya katakan saya tidak melakukan apa-apa seperti itu,” kata pemain berusia 32 tahun itu, sering kali berhenti bercakap untuk mengesat air matanya. – AFP