DUA kemenangan yang dilakar Harimau Malaya ke atas Filipina dan Lubnan membentuk bibit-bibit kepercayaan peminat terhadap ketua jurulatih, Pau Marti Vicente.
Selain lulus dua ujian pertama, pengendali dari Sepanyol itu juga mengecapi detik manis apabila turut menjulang trofi Pestabola Merdeka 2024 selepas mengatasi Lubnan 1-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.
Kejayaan itu menebus kekecewaan peminat selepas Harimau Malaya terlepas trofi itu apabila tewas 0-2 kepada Tajikistan dalam aksi final tahun lalu yang mana ketika itu skuad negara dibimbing Kim Pan Gon.
Meskipun terdapat segelintir peminat meratapi peletakan jawatan oleh Pan Gon pada 16 Julai lalu, namun dengan permulaan positif Harimau Malaya di bawah kendalian Vicente, peminat seharusnya sudah boleh melupakan pengendali dari Korea Selatan itu.
Tidak dinafikan masih terlalu awal untuk menilai keupayaan sebenar Vicente yang mana beliau perlu memantapkan lagi corak permainan Harimau Malaya untuk menghadapi tugasan lebih sukar selepas ini.
Harimau Malaya dilihat menampilkan aksi kurang kemas ketika menentang Filipina, Rabu lalu meskipun berjaya bangkit dari ketinggalan untuk merekodkan kemenangan 2-1.
Namun, tugasan kedua Vicente ketika berdepan Lubnan yang berada di ranking 116 dunia menyaksikan pengendali dari Sepanyol itu melakukan enam perubahan dalam senarai kesebelasan utama.
Kemasukan Nooa Laine dan Endrick Dos Santos di bahagian tengah serta La’vere Corbin Ong dan Dominic Tan di bahagian pertahanan dilihat membentuk permainan lebih teratur dengan corak hantaran pendek berbanding ketika menentang Filipina.
Kini, seluruh peminat akan menantikan aksi Harimau Malaya yang lebih garang menerusi acuan Vicente dengan skuad negara akan mengharungi beberapa aksi persahabatan termasuk menentang pasukan ranking 94 dunia, New Zealand, 14 Oktober depan.
Selain aksi persahabatan, Vicente juga bakal mengemudi Harimau Malaya pada kejohanan Piala ASEAN, Disember depan dan semua aksi itu penting buatnya yang ketika ini boleh dikatakan berada dalam tempoh ‘percubaan’.
Ia selepas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebelum ini menjelaskan badan induk itu sedang menilai prestasi Vicente sebelum memutuskan untuk mengambil ketua jurulatih baharu yang mana bekas pengendali Vietnam, Park Hang Seo turut berada dalam radar badan induk itu.
sumber:- BH
Pengendali berusia 41 tahun itu boleh kekal membimbing Harimau Malaya dan mencantas hasrat FAM mengambil jurulatih baharu dengan syarat beliau perlu memastikan prestasi terbaik dipamerkan skuad negara.