sukan

Misi Malaysia ke Piala Asia 2027 diakui mencabar

Adakah skuad Harimau Malaya mampu untuk meletakkan diri dalam Balang Satu sekali gus memberikan sedikit ‘kelebihan’ dari segi undian untuk pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan membuka kempennya, Mac tahun depan?

Berdasarkan kedudukan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ketika ini, skuad bimbingan Pau Marti Vicente secara tidak rasminya berada dalam Balang Dua selepas gagal melayakkan diri secara merit ke Piala Asia 2027.

Peluang terbaik untuk mereka ‘melompat’ ke Balang Satu adalah dengan memintas India namun India sudahpun mengutip 1139.39 mata berbanding Malaysia yang sekadar menghimpun 1107.58 mata.

Jika Malaysia berjaya menduduki Balang Satu, mereka akan berpeluang mengelak pasukan di ranking lebih tinggi selain India seperti Syria, Tajikistan, Thailand, Vietnam dan juga Lubnan.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin mengakui misi Malaysia untuk ‘memanjat’ ke Balang Satu agak sukar terutama selepas melihat perbezaan jurang mata yang besar antara Malaysia dengan India.

“Saya ingat mungkin susah kerana kita dengan India, (beza) 30 mata. Tetapi bagi saya, saya tidak mengejar itu sama ada Balang Satu ataupun Balang Dua. Apa yang penting kita kena tingkatkan persembahan pasukan dan dapatkan seberapa banyak mata untuk ranking.

“Tetapi kalau dapat (ke Balang Dua) mungkin bagus tetapi saya rasa mencabar sedikitlah. Apa yang mustahak adalah pada pengundian nanti kerana kita kena berhati-hati dengan tiga aksi di tempat sendiri dan tiga aksi di tempat lawan untuk mendapatkan mata.

“Kita perlu ingat yang hanya juara kumpulan sahaja akan pergi (Piala Asia 2027), nombor dua tidak dapat pergi sebab kali ini (formatnya) lain sedikit,” kata Hamidin.

Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya sudahpun menambah 10.06 mata daripada dua perlawanan baru-baru ini yang mana 4.48 mata diraih ketika menewaskan Filipina 2-1 dan 5.58 mata lagi selepas mengatasi Lubnan 1-0 pada final Pestabola Merdeka 2024.

sumber:- BH

Bagi undian pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027, sebanyak 24 pasukan akan diundi dalam enam kumpulan dengan empat pasukan dalam setiap kumpulan dan hanya juara kumpulan akan menyertai 18 lagi pasukan yang sudahpun melayakkan diri secara merit dari pusingan kedua.