sukan

‘Mana gaji, nak beli susu dan pampers anak ni’

Isu tunggakan gaji dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini makin kronik apabila bekas pegawai pasukan Perak FC turut menjadi ‘mangsa’.

Ia selepas bekas penganalisis prestasi pasukan Perak FC, Muhammad Azim mendedahkan di laman Facebook miliknya sambil merayu agar kelab berkenaan dapat segera menyelesaikan baki tunggakan gaji.

Menurutnya, Perak FC bukan saja gagal membayar gaji, malah turut culas dalam membuat potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan cukai.

Jelas Azim, dia amat terdesak ketika ini apabila duit untuk membeli susu dan lampin pakai buang anaknya tidak cukup.”Hai Perak Football Club (FC). Bila nak bayar baki tunggakan gaji saya ya???.

“Income tax (potongan cukai) dan KWSP?. Saya ada anak dan isteri untuk ditanggung, ada komitmen yang perlu dibayar. Nak beli susu dan pampers (lampin pakai buang) anak ini,” katanya.

Sebelum ini, Azim pernah bertugas sebagai penganalisis prestasi pasukan Terengganu FC (TFC) ketika skuad Penyu itu di bawah kendalian Nafuzi Zain.

Dia kemudian memilih haluan berbeza pada awal musim lalu dengan menyertai Perak FC.

Namun difahamkan ketika ini dia terpaksa meninggalkan dunia bola sepak dengan bekerja sebagai penjual kereta bagi meneruskan kehidupan.

Terdahulu, beberapa pasukan yang beraksi dalam kancah Liga M dihimpit masalah gaji dan ada dalam kalangan pemain bagaikan memboikot tidak turun menjalani latihan.

sumber:- BH

Selain Kuala Lumpur City FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC, turut dilaporkan sebuah pasukan di Pantai Timur berdepan krisis sama hingga ada pemain dihalau dari rumah sewa ekoran masalah gaji tertunggak.