Tangga gaji AS$50,000 (RM218,000) sebulan untuk bekas pengendali Vietnam, Park Hang Seo disifatkan terlalu tinggi sekali gus Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mempertimbangkan sewajarnya jika benar-benar mahu mengikat jurulatih itu.
Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah mengakui bayaran itu tampak tidak setimpal apatah lagi selepas mengambil kira Hang Seo berasal dari benua ini dan dia juga tidak memiliki pasukan untuk dikendalikan buat masa ini.
Jelas Effendi yang juga ejen berpengalaman itu, tangga gaji sekitar AS$30,000 (RM130,000) dirasakan berpatutan bagi jurulatih dengan kaliber seperti Hang Seo.
“Saya rasa RM218,000 itu terlalu mahal kerana dia pun dari sini (Asia) selain kita lihat apa pencapaian yang dia ada. Kalau sehingga RM218,000, itu terlalu tinggi dan difahamkan, Vietnam mampu bayar sebab mereka tanggung separuh dan separuh lagi dibiayai syarikat swasta atau syarikat dari Korea Selatan.
“Katakanlah FAM ambil dia untuk kontrak dua tahun, kita bayar lebih RM5 juta untuk gaji dia sahaja jadi pada saya, tak kenalah. Dengan jumlah itu, kita boleh dapatkan jurulatih yang lebih baik dan berkelayakan lebih tinggi dari Eropah.
“Saya tidak mempertikaikan kebolehan dia tetapi hanyalah jumlah gajinya itu. Dia pun tiada pasukan ketika ini jadi saya rasa dia mungkin menunggu gaji yang tinggi.
“Kita juga perlu faham kerana setiap jurulatih ada corak permainan masing-masing, jadi Hang Seo cemerlang di Vietnam tetapi mungkin dia akan bergelut di sini kerana suasana bola sepak yang berbeza,” kata Effendi.
Terdahulu, BH Sukan melaporkan FAM perlu bersedia untuk membayar lebih dua kali ganda daripada gaji bekas pengendali, Kim Pan Gon jika mereka benar-benar berhasrat untuk ‘meminang’ Hang Seo.
Ini kerana gaji bekas pengendali Vietnam itu lebih tinggi daripada gaji Pan Gon di mana badan induk itu sebelum ini membayar Pan Gon gaji di bawah AS$20,000 (RM87,000) sebulan kepada pengendali yang kini sudah bersama kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai.
sumber:- BH
Memetik laporan portal Vietnam, VN Ekspress, Persatuan Bolasepak Vietnam (VFF) dilaporkan membayar gaji Hang Seo sebanyak RM218,000 sebulan dengan Hang Seo mengendalikan pasukan itu bagi tempoh lima tahun setengah.