Pelumba negara, Hakim Danish Ramli terus mencipta sensasi tersendiri apabila menamatkan Perlumbaan 1 Red Bull MotoGP Rookis Cup (RBMRC) 2024 di Misano, Itali, hari ini di kedudukan podium.
Memulakan perlumbaan di petak ke-11, pelumba kelahiran Terengganu itu terpaksa berjuang bermati-matian susulan persaingan sengit dalam perlumbaan berkenaan.
Berada di kelompok kedua perlumbaan sehingga pertengahan perlumbaan, pelumba berusia 17 tahun itu mengorak langkah ketika perlumbaan berbaki 10 pusingan dan bersaing di kelompok tiga terbaik.
Dan strategi untuk jelas membuahkan hasil apabila dia berjaya melepasi garisan penamat di tempat ketiga.
“Perlumbaan yang sukar pada hari ini. Ini bukan litar yang mudah jadi saya cuba memahaminya setiap sesi, sentiasa mahu terus laju dan cuba untuk mengejar kelompok depan,” kata Hakim Danish.
“Saya bermula di bahagian agak belakang, tetapi saya berjaya mengejar satu demi satu pelumba di depan. Saya cuba untuk bertenang, cuba kekal berada dalam kumpulan dan pada pusingan terakhir, saya cuba mencari kemenangan tetapi agak sukar.
“Tetapi ia tidak apa kerana saya masih berada di podium. Saya akan cuba lagi pada Perlumbaan 2 esok,” katanya.
Kemenangan di Misano menjadi milik pelumba Sepanyol, Brian Uriarte yang memanjangkan perlumbaan pemburuan kejuaraan keseluruhan dengan Alvaro Carpe ke Perlumbaan 2, esok.
Rakan sepelatih Hakim Danish, Valentin Perrone mendapatkan tempat kedua.
sumber:- BH
Begitupun, keputusan di Misano turut menyaksikan peluang Hakim Danish untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan tiga terbaik keseluruhan sudah tertutup susulan kejayaan yang diperoleh Perrone.