sukan

Malaysia hampiri kejuaraan Piala Raja Thai 2024

Skuad sepak takraw Malaysia mengesahkan tempat ke pentas final bagi acara regu berpasukan selepas menewaskan Korea Selatan 2-0 di separuh akhir Piala Raja Thai 2024, hari ini.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia membuat perhitungan sekali lagi dengan pasukan terkuat di rantau Asia malah dunia, Thailand petang esok.

Namun begitu, ia bukan laluan yang mudah buat anak buah Ahmad Jais Baharun apabila terpaksa bekerja lebih keras untuk menjinakkan pasukan yang baharu memasuki permainan sepak takraw itu.

Membariskan pemain terbaik seperti Muhammad Haziq Hairul Nizam selaku tekong utama, Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Farhan Adam (apit kiri) selaku regu pertama, mereka dipaksa untuk bermain tiga set sebelum mengesahkan kemenangan 16-17, 15-8, 15-10.

Regu kedua negara, Syahmi Hussin (tekong), Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) dan Shahalril Aiman Halim (apit kanan) meneruskan momentum kemenangan itu tetapi perlu bermandi peluh terlebih dahulu sebelum memastikan Malaysia menang perlawanan kedua , 2-0.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan bersyukur pasukan negara ke pentas final dan akan bertemu musuh tradisi mereka, Thailand.

“Alhamdulillah Malaysia ke Final esok acara berpasukan ‘King Cup ISTAF World’ Sepaktakraw Championship Korat, Thailand setelah menewaskan Korea Selatan 2-0 di separuh akhir.

“Final Malaysia menentang Thailand esok jam 2.00 petang (waktu Malaysia). Musuh tradisi sekian lama,” katanya di media sosial rasminya.

Untuk rekod, Malaysia masih gagal mencatat kemenangan dalam acara berkenaan dalam masa 35 tahun ini dan kali terakhir bertemu di pentas akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024 itu juga menyaksikan keputusan memihak kepada lawan.

sumber:- BH

Terdahulu, skuad sepak takraw negara tidak berdepan masalah muncul juara acara regu lelaki Piala Raja Thai 2024 selepas mengalahkan India, 2-0 dalam perlawanan terakhir secara ’round robin’ di Nakhon Ratchasima, Thailand, pada Isnin lalu.