sukan

Jurulatih Lubnan dedah ‘rahsia’ Malaysia

Harimau Malaya tampak perlu lebih berhati-hati apabila turun menentang Lubnan dalam aksi final Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.

Ia susulan ketua jurulatih Lubnan, Miodrag Radulovic mendedahkan bahawa dia sudah mengumpul maklumat mengenai corak permainan Malaysia dan beberapa pemain Harimau Malaya.

Pengendali dari Montenegro itu menjelaskan maklumat berkenaan diperolehi daripada dua pemainnya yang pernah beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M), Rabih Ataya dan Khalil Khamis.

“Sudah pasti kami menggunakan beberapa maklumat dari mereka (Ataya dan Khamis), tapi saya juga dapat maklumat dari pemain Montenegro iaitu (Argzim) Redzovic dan Adrijan Rudovic yang beraksi untuk Terengganu dan Kuala Lumpur City.

“Saya dapat maklumat daripada mereka mengenai kejohanan, liga dan kualiti beberapa pemain (Malaysia),” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ataya yang beraksi di posisi sayap pernah bersama pasukan UiTM FC pada 2020 dan Kedah (2021), manakala Khamis pula bermain dengan Pahang pada 2020.

Lubnan mara ke final Pestabola Merdeka 2024 selepas mengatasi juara 2023, Tajikistan 1-0 dalam aksi pertama, Rabu lalu.

Selain itu, Radulovic menjelaskan bahawa dia sudah membuat analisis mengenai corak permainan Harimau Malaya berdasarkan persembahan skuad Pau Marti Vicente ketika berdepan Filipina, Rabu lalu.

Malah, dia menganggap Harimau Malaya sebagai pasukan yang mempunyai kualiti dengan dibantu beberapa pemain naturalisasi.

“Ia akan menjadi perlawanan yang amat sukar esok, tapi kami bersedia dan satu penghormatan untuk berada di pentas akhir.

sumber:- BH

“Saya jangka esok ramai penyokong yang akan hadir kerana ini adalah final. Bagi kami, ia bagus juga selain cuaca akan berbeza kerana aksi sebelum ini kami bermain jam 4 petang. Jadi ia akan jadi lebih baik buat kami,” katanya.