Sensasi muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar terus membuktikan kejaguhannya apabila mengalahkan Josue Cruz dari Mexico dalam pertarungan ONE 168: Denver dengan keputusan ‘knockout’ (KO), hari ini.
Lebih dikenali sebagai Jojo, petarung berusia 17 tahun itu tampil dengan persembahan cukup agresif dan hanya memerlukan satu pusingan untuk menumbangkan Cruz.
Pada perlawanan yang berlangsung di Ball Arena, Denver, Colorado, Amerika Syarikat itu, Jojo langsung tidak memberi muka kepada Cruz dengan melepaskan tumbukan bertubi-tubi ke atas lawannya.
Sekalipun hidungnya turut berdarah, pukulan Jojo jelas memberi kesan kepada lawannya yang tidak mampu bangkit selepas tumbang.
“Ia sesuatu yang gila, saya baru berusia 17 tahun. Sejujurnya jika anda bertanya kepada saya empat, lima atau enam tahun yang lalu bagaimana saya boleh berada dalam posisi saya hari ini, saya akan kata saya bekerja keras, sangat konsisten dan berikan segalanya.
“Anda tahu, secara literal, darah, peluh, dan air mata adalah yang saya lalui hari demi hari untuk capai ke sini,” kata Jojo selepas kemenangan itu.
Kejayaan ke atas Cruz turut menyaksikan Jojo kembali di landasan kemenangan selepas tewas pada perlawanan terdahulu kepada petinju Vietnam, Nguyen Tran Duy Trat pada Jun lalu.
Sebagai rekod, kemenangan KO ke atas Cruz adalah yang kelima Jojo dalam aksi ONE Championship.
Dia merekodkan enam kemenangan daripada tujuh penampilan dengan lima kemenangan diperoleh menerusi pukulan KO.
sumber:- BH
Kemenangan turut menyaksikan Jojo membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM216,500 atas kejayaannya menumpaskan lawan hanya dalam satu pusingan.