sukan

Kelayakan Piala Dunia: Palestin lakar kejutan besar

Palestin memberikan ancaman besar kepada Korea Selatan apabila seri 0-0 pada perlawanan menghiburkan di tempat lawan, dalan usaha memburu slot ke Piala Dunia buat kali pertama, hari ini.

Membuat penampilan sulung di pusingan ketiga kelayakan Zon Asia, Palestin yang menduduki ranking ke-96 dunia berdepan Korea Selatan yang menduduki tangga ke-23 dan mereka cukup berani apabila bermain secara terbuka di Seoul.

Palestine akan menjadi tuan rumah di stadium negara lain, kebiasaannya di Timur Tengah kerana peperangan di Gaza.

Liga tempatan ditangguhkan menyebabkan ramai pemain tidak memiliki kelab.Namun, di sebalik semua halangan itu, mereka menjaringkan gol pada minit ke-22 di depan 66,000 penyokong di Stadium Piala Dunia Seoul, tetapi malangnya jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid.

Pasukan tuan rumah yang dibimbing jurulatih keempat pada tahun ini iaitu Hong Myung-bo, kelihatan goyah di benteng dan bergelut untuk mengumpan bola kepada penyerang yang juga kapten, Son Heung-min.

Peluang terbaik mereka hadir pada babak pertama menerusi Lee Kang-in, tetapi penjaga gol Palestin, Rami Hamadeh bertindak cemerlang menghalang percubaan pemain Paris Saint-Germain (PSG) itu.

Lee terlepas dua lagi peluang keemasan apabila percubaannya tersasar manakala sepakan percuma pada minit ke-74 ditolak keluar oleh Hamadeh.

Di bawah kendalian jurulatih dari Tunisia, Makram Daboub, Palestin menyerlah pada tahun ini apabila meraih kemenangan pertama di Piala Asia iaitu 3-0 ke atas Hong Kong.

Mereka mara ke pusingan kalah mati kali pertama, tetapi tewas 1-2 di tangan tuan rumah yang muncul juara, Qatar.

sumber:- HM

Skuad itu berlatih di Malaysia sebelum bertemu Korea Selatan dan akan kembali ke Kuala Lumpur untuk perlawanan berikutnya menentang Jordan pada Selasa ini.